Simbolik 125 KTMB

HANYA RM1.25. Itulah jumlah yang perlu dibayar oleh seorang warga emas untuk mengikuti perjalanan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari ibu kota ke Ipoh.

Pada kebiasaannya KTMB mengenakan bayaran sebanyak RM12 bagi perjalanan sehala tren shuttle Kuala Lumpur ke Ipoh.

Itu adalah antara gimik sempena perayaan ulang tahun ke 125 syarikat pengangkutan yang tertua di Tanah Melayu itu sambil meraikan warga emas yang mempunyai banyak nostalgia bersama KTMB.

Menurut seorang warga emas yang turut mendapat keistimewaan itu, Bibi Sarojah Senderam, 60, sangat teruja saat mengetahui mengenai kadar tambang murah itu melalui akhbar.

"Saya bersama sekumpulan rakan-rakan lain sepakat untuk bersama-sama mengikuti perjalanan pergi balik ke Ipoh hari ini pada bayaran hanya RM2.50 sahaja.

"Ia membuka peluang kepada warga seusia kami untuk menikmati waktu-waktu lapang dengan aktiviti yang sihat seperti ini," kata wanita yang datang berkumpulan dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Cheng Siew Ha, 62, yang pertama kali menaiki kereta api mengucapkan terima kasih kepada pihak KTMB kerana memberi peluang kepada warga emas sepertinya merasai pengalaman perjalanan rel dengan tambang murah.

"Ia sebuah pengalaman yang berbeza berbanding menaiki transit aliran ringan (LRT) atau pun KTM komuter kerana ia masih sarat dengan elemen nostalgia.

"Saya boleh menghabiskan waktu bersama suami untuk melawat ke Ipoh pada hari ini. Jika sebelum kini kami menaiki kereta, hari ini kami boleh menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan," kata wanita yang mengikuti perjalanan bersama suaminya.

"Ia sesuatu yang menarik. KTMB patut meneruskannya pada masa akan datang dengan pelbagai lagi pengisian program bersama kami," kata seorang warga emas, Siti Saodah Md. Zain, 60.

"KTMB memang selalu meraikan warga emas. Saya pernah mengikuti banyak perjalanan bersama KTMB sebelum ini," katanya lagi.

Pada 1 Jun lalu, genaplah usia syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Federal Malay State Railway (FMSR) itu 125 tahun dan lebih istimewa ia diraikan bersama penumpang.

Sebagai simbolik kepada perayaan ulang tahunnya itu, tren perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang turut membawa seramai 125 orang warga emas dengan tambang sebanyak RM1.25 itu telah berlepas dari Stesen Kereta api Kuala Lumpur pada jam 1.25 petang, pada hari sama.

Sebelum tren berlepas, upacara memotong kek telah disempurnakan oleh Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan sebagai lambang perjalanan KTMB yang sentiasa kekal untuk menghubungkan masyarakat di negara ini.

"Sebagai menghargai jasa-jasa warga emas yang sentiasa berdampingan dan mempunyai memori indah dengan KTMB, kami memilih cara ini bagi meraikan dan menghargai mereka," kata Aminuddin.

"Melihat kepada sambutan hebat daripada warga emas yang sentiasa memberi sokongan kepada KTMB, kami ingin melanjutkan keistimewaan ini kepada tiga hari (sehingga 3 Jun lalu)," katanya lgi.

Sepanjang berada dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu, penumpang turut dipersembahkan dengan pertunjukan haiwan seperti ular sawa albino, burung kakak tua, spesies memerang dan iguana daripada warga Taman Tema Lost World of Tambun.

Perjalanan tren shuttle Kuala Lumpur - Ipoh yang diperkenalkan sejak 1 Disember 2008 itu turut membawa sekumpulan wakil media dan kembali tiba di Stesen Kereta api Kuala Lumpur pada jam 9 malam selepas tiga jam perjalanan dari Stesen Kereta Api Ipoh.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url