Soal Jawab Agama: Uar-uarkan barang hilang setahun diuarkan

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

SOALAN

Saya menjumpai barang berharga dan sedar ia bukan milik saya. Jadi apakah yang perlu saya lakukan kerana ada yang mengatakan ia rezeki. Benarkah pandangan itu. Saya juga bercadang untuk memulangkan barangan ini tetapi tidak yakin dengan sesetengah pihak. Harap dapat sedikit penjelasan.

JAWAPAN

Firman Allah SWT: ‘Janganlah kamu memakan harta orang lain dengan cara yang batil’. (Al-Baqarah 188). Barang yang hilang bukanlah satu rezeki yang boleh dimiliki sewenang-wenangnya oleh orang yang menjumpainya. Malah, ia masih lagi milik orang lain selagi tidak melalui beberapa proses yang dibenarkan oleh agama.

Ulama sepakat mengatakan bahawa wajib diambil dan meuar-uarkannya selama setahun di tempat tumpuan manusia seperti di pintu masjid dan pasar atau tempat orang ramai berkumpul berhampiran tempat barangan dijumpai.

Mungkin dengan cara meletakkan notis dan sebagainya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi menyebut bahawa seorang lelaki bertemu Baginda SAW bagi memberitahu satu barang yang ditemui, maka jawab Baginda SAW: ‘Uar-uarkan kepada orang ramai selama setahun’. (HR Tirmizi).

Jika barangan berharga disarankan supaya meuar-uarkan setiap minggu, kemudian setiap bulan sehinggalah genap setahun sebelum barangan itu menjadi miliknya. Namun demikian, ada ulama berpendapat bahawa ia masih milik orang lain tetapi dibenarkan memanfaatkan barangan terbabit.

Jika pemiliknya datang walau dalam yang lama, maka wajiblah diserahkan kembali berdasarkan sabda Rasul SAW bermaksud: ‘Jika datang tuannya lalu memberi gambaran yang tepat terhadap barangan itu, maka wajib diserahkan kembali. Jika barangan itu sedikit atau mudah rosak, maka di uar-uarkan mengikut kesesuaian masa. Jika sudah yakin tidak ketemu pemiliknya, maka harus dimiliki barangan itu.
Pernah seorang sahabat bernama Ubai Bin Kaab menemui satu bekas berisi wang sebanyak 100 dinar. Maka Baginda SAW menyuruh supaya diiklankan selama setahun. Selepas tiada pemilik yang datang, maka Baginda SAW menyuruh Ubai menggunakannya. Peristiwa sama juga berlaku kepada Saidina Ali. Pernah juga dalam peristiwa lain Baginda SAW menyuruh supaya ditambahkan masa setahun lagi untuk meyakinkan bahawa barang itu sudah tiada pemiliknya.

Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat di atas, maka diharuskan untuk memilikinya selepas diiklankan mengikut kualiti barangan berkenaan. Diharap saudara dapat serahkan kepada pihak yang berwajib jika tidak mampu untuk mengiklankan barangan itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url