Banci guna tiga kaedah

Buat pertama kalinya, program Banci Penduduk dan Perumahan tahun ini menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, hantar dan kutip atau dropoff and pick-up (DOPU) serta secara dalam talian melalui e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Penggunaan kaedah itu untuk memudahkan orang ramai memberi maklumat mereka.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pesuruh Jaya Banci, Datuk Wan Ramlah Wan Abd. Raof, tahun ini kaedah DOPU dan secara dalam talian e-Census disediakan bagi memudahkan orang ramai terutama yang bekerja.

''Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, kaedah secara bersemuka digunakan yang mana pegawai banci akan mengunjungi rumah ke rumah untuk menemuramah penduduk.

"Bagi mereka yang bekerja dan tiada di rumah, pegawai banci akan mengunjungi semula pada keesokan hari atau hari yang berikutnya.

''Tetapi dengan adanya DOPU dan e-Census, ia memudahkan pegawai banci dan penduduk itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, jika mereka memilih DOPU, responden hanya perlu mengisi segala maklumat yang diperlukan dengan menggunakan pen yang disediakan dalam Kit Banci kemudian menghubungi pegawai banci untuk mengutipnya.

Sementara jika e-Census menjadi pilihan, mereka boleh terus mengisi maklumat-maklumat yang berkaitan melalui Internet.

''Bagi mereka yang memilih e-Census, masih perlu menghubungi pegawai banci untuk mendapatkan kata laluan sebelum boleh menggunakan sistem tersebut.

"Tetapi kedua-dua kaedah ini menjadikan kerja-kerja bancian dilakukan dengan lebih mudah,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, ketika proses bancian berlangsung, responden perlu menjawab 51 soal selidik mengenai kediaman, butiran isi rumah, ciri demografi dan sosial (umur, jantina, kumpulan etnik dan agama), migrasi, taraf pendidikan dan ekonomi.

Jelasnya, untuk tahun ini juga, pihaknya telah menyediakan lima soalan baru berbanding pada tahun 2000.

Ia membabitkan pendapatan kasar bulanan isi rumah, pembabitan mereka dalam bidang pertanian dan asas tani, tempat tinggal biasa mereka dalam tempoh setahun lalu, jenis pengangkutan ke tempat kerja dan umur pada perkahwinan pertama (cuma di Sabah dan Sarawak).

Banci kali ini, menurut Wan Ramlah, pihaknya menganggarkan kira-kira 7.4 juta unit kediaman akan dilawati di seluruh negara.

Ini termasuk institusi perubatan, asrama institusi pengajian tinggi (IPT), kem tentera, polis, penjara, pusat pemulihan, kawasan penempatan Orang Asli, orang yang tiada tempat tinggal dan penempatan pendatang tanpa izin.

Proses bancian ini turut melibatkan bayi yang baru lahir pada atau sebelum tempoh banci serta mereka yang meninggal dunia dalam tempoh bancian dibuat.

Menurut Wan Ramlah, untuk tahun ini, pihaknya menggunakan khidmatl 29,000 pegawai dan penyelia banci secara sambilan untuk membantu kerja-kerja soal selidik.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan dan agensi kerajaan antaranya polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

''Kesemua pegawai serta penyelia banci diwajibkan memakai kad pengenalan diri yang berwarna jingga dan biru ketika bertugas.

''Dalam hal ini, responden boleh meminta kebenaran untuk melihat kad pengenalan pegawai atau penyelia banci yang mengandungi maklumat peribadi untuk mengesahkan mereka pegawai serta penyelia banci yang sah dilantik.

''Jika timbul sebarang keraguan, orang ramai boleh menelefon talian kami 1-8000-88-7828 bagi pengesahan,'' katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url