Dakwah kata-kata - Pak Nil (Aznil)

ASSALAMUALAIKUM.

Padat betul jadual Paknil minggu ini. Selain komitmen di radio Era setiap Isnin hingga Jumaat, Paknil terbabit dengan beberapa rancangan televisyen di Astro termasuklah Imam Muda yang menjadi fenomena baru di kalangan penonton TV.
Bagi yang mengikuti program ini, pasti tahu hanya empat calon Imam Muda saja yang bertahan ketika ini. Dua minggu lagi, program ini akan melabuhkan tirainya dan ketika itu kita akan saksikan lahirnya Imam Muda buat julung kalinya dalam penganjuran program realiti di dunia ini.

Paknil diberi kesempatan berkongsi kemahiran dan pengalaman dalam membentuk kebolehan mereka memberi ceramah dan khutbah. Paknil bukanlah orang yang arif jika ingin mengajar isi dan kandungan ceramah dan khutbah mereka itu tetapi apa yang Paknil perturunkan adalah ilmu mengenai cara menarik perhatian orang pada cara pengucapan.

Dalam pada itu, Paknil selitkan juga keperkasaan diri seseorang di dalam pengucapannya. Sebenarnya, secara peribadi Paknil rasakan sesi ini seharusnya dijadikan mata pelajaran tetap selama mana rancangan ini ke udara kerana kita memerlukan Imam yang boleh menggunakan senjata pertuturan untuk menarik orang mengikutnya ke jalan yang benar.

Apa yang Paknil perhatikan, rata-rata peserta Imam Muda masih terperangkap dengan cara imam-imam lama memberi ceramah. Pengucapan mereka terikat seperti membaca dan menghafal. Keajaiban pengucapan dari hati dan jiwa tidak dizahirkan justeru itu sukar untuk kita mengawal orang supaya mendengar dan mengikut apa yang diperkatakan. Lebih teruk lagi jika apa yang diucapkan buat pendengar bosan dan mengantuk.

Senjata penguasaan melalui kata-kata inilah yang harus diberi penekanan kerana bagi Paknil antara cara terbaik untuk menarik perhatian orang yang dipimpin adalah kebolehan untuk memukau mereka melalui kata-kata. Inilah senjata sulit yang jarang ditemui dalam diri seseorang.

Paknil benar-benar berharap mereka dapat menerapkan ilmu ini. Masih tidak terlambat untuk mereka belajar ilmu berbicara meskipun program sudah hampir melabuhkan tirai. Jadi harapan Paknil lahir Imam Muda yang boleh mengaplikasikan kaedah baru dalam berdakwah. Agar relevan dengan masyarakat moden hari ini tidak semestinya kita bertunjangkan cara pondok atau kaedah lama.

Begitu juga dari segi pendekatan yang harus ditanamkan dalam diri Imam Muda. Mereka harus mesra masyarakat baik dari segi pergaulan mahupun imej. Seandainya cara pergaulan, pertuturan dan imej menjarakkan mereka dengan khalayak, tidak akan berlaku sebarang perubahan. Mereka hanya dilihat muda dan segar tubuh badan.

Cadangan Paknil ini bukan untuk meranggikan mereka tetapi ada jalan tengah dari aspek imej, pertuturan dan pergaulan yang boleh menjadikan mereka mesra khalayak dan mudah didekati.

Paknil pandang tinggi pada mereka yang lancar membaca surah panjang dan doa. Namun dari pendengaran Paknil bacaan doa dan surah itu akan lebih bermakna jika mereka memahami maksudnya dan menyulamkan rasa yang mereka rasai itu ketika mengucapkannya. Maka kita yang mendengar akan merasakan bahawa bacaan mereka itu bukan sekadar membaca atau menghafal tetapi turut disampaikan dengan perasaan yang betul.

Sudah hampir 50 tahun umur Paknil, kaedah dan stail lama yang Paknil pernah lalui sejak zaman kanak-kanak masih boleh diterima pakai. Janganlah tiru bulat-bulat cara Paknil mengacarakan rancangan hiburan di TV tetapi cukup untuk meyakinkan bahawa apa yang kita ucapkan itu datang dari hati dan bukan diungkap dari pembacaan.

Ini adalah antara perkara yang Paknil rasakan perlu diambil perhatian oleh pihak penerbit Imam Muda kerana pengisian ilmu agama itu juga boleh jadi sia-sia jika Imam Muda gagal menyalurkan apa yang dipelajarinya gara-gara gagal menarik minat ummah.

Ambil saja contoh Nabi Muhammad SAW, Baginda tidak tahu membaca dan menulis tetapi berjaya menunduk dan meyakinkan musuh serta pengikutnya hanya melalui kata-kata selain keperibadian Baginda sendiri.

Bayangkan nasihat dan kata-kata yang diucapkan Baginda ketika berkhutbah dan berdebat sebenarnya datang dari hati dan bukan bagai dibaca atau dihafal. Di situlah letaknya keajaiban berdakwah jika ia datang dari jiwa dapat dilihat dan dirasai oleh golongan sasaran.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini Paknil turut sibuk dengan tugas sebagai duta kempen Jom Ganyang Aedes anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Kempen peringkat nasional ini dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Taman Kajang Mewah minggu lalu dan bermulalah tugas Paknil turun padang penduduk di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan bahaya denggi.

Dari pengamatan Paknil, masyarakat masih pandang ringan demam denggi. Jumlah mangsa yang meninggal dunia kian meningkat tetapi masyarakat masih ambil mudah isu ini. Orang ramai perlu mengetahui cara-cara mencegah kerana ia dapat mengelakkan kita daripada mengidap virus yang boleh membawa maut ini.

Ketahuilah bahawa penyakit ini sama seperti HIV atau barah yang masih belum ditemui vaksinnya. Sekurang-kurangnya penyakit demam selesema burung H1N1 sudah pun ada vaksin pelindung. Jika anda demam, sakit otot, tulang, sakit perut, muntah atau ada bintik merah pada kulit, segeralah mendapatkan rawatan. Cukuplah Paknil kehilangan Din Beramboi yang lewat mendapat rawatan, Paknil tidak mahu kehilangan jumlah pembaca ruangan ini.

Anda kena ke klinik atau hospital dengan cepat walaupun tiada vaksin untuk demam ini kerana bimbang virus itu menyerang organ-organ dalam badan seperti paru-paru, buah pinggang, hati dan jantung. Sekurang-kurangnya bila cepat ke hospital pemerhatian dan pencegahan awal dapat dilakukan.

Sesungguhnya pencegahan lebih baik daripada mengubati. Bukan sukar pun kita hentikan pembiakan nyamuk aedes. Kita kena hapuskan tempat pembiakan telur dan jentik-jentik nyamuk ini terutama bekas-bekas yang boleh menampung air di dalam dan luar rumah.


Buatlah seminggu sekali kerana jentik-jentik mengambil masa seminggu untuk bertukar menjadi nyamuk. Jika kita lakukan secara berterusan, ia dapat dimusnahkan. Selain tukar dan keringkan air, kita boleh masukkan ubat jentik-jentik. Semburan asap pembunuh nyamuk dan ubat nyamuk hanya membunuh nyamuk dewasa tetapi tidak jentik-jentik.

Usaha selama 15 hingga 30 minit sehari dalam seminggu dapat mengubah angka kematian. Cukuplah dengan cerita kematian bayi yang dibuang, kematian akibat nahas jalan raya dan disebabkan jenayah di negara ini. Memang tak berbaloi langsung jika ada antara kita mati hanya kerana seekor nyamuk!

Paknil teringin sangat lihat perubahan dalam diri kita dan apa yang Paknil tekankan kali ini berputar pada paksi yang sama iaitu sikap kita yang selesa dengan cara lama dan sukar berubah untuk kebaikan.

Kalau boleh berubah, kita dapat melihat senario baru dalam kehidupan kita. Ada berani?

Wassalam.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url