Dua produk baru Kaspersky mula masuki pasaran internet

KASPERSKY Lab, peneraju utama perisian pengurusan keselamatan data komputer, memperkenalkan versi terbaru rangkaian produk penggunanya iaitu Kaspersky Internet Security 2011 dan Kaspersky Anti-Virus 2011.

Jenama ini menawarkan pelbagai perlindungan untuk semua jenis ancaman komputer seperti virus, spyware, penggodam dan spam.

Ia melindungi lebih 300 juta sistem global merangkumi perisian untuk pejabat, rumah dan pengguna telefon bimbit.

Pelancarannya adalah susulan sambutan hangat pengguna Malaysia terhadap versi Kaspersky Internet Security dan Kaspersky Anti-Virus 2009 dan 2010.

Pengarah Jualan Rangkaian Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, berkata pihaknya menjangkakan permintaan bagi versi terbaru produk pengguna ini akan terus meningkat berikutan penambahan ciri terkini selain memberi lebih penekanan terhadap usaha menawarkan lebih nilai kepada pengguna.

“Kaspersky Internet Security 2011 dan Kaspersky Anti-Virus 2011 tampil dengan teknologi baru serta teknologi yang diperbaharui, kebanyakannya adalah ciri unik yang hanya boleh diperoleh daripada produk Kaspersky Lab.

“Produk baru ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini untuk mengesan sebarang ancaman terhadap IT dengan lebih tepat dan pantas,” katanya.
Beliau menjelaskan, Kaspersky Lab sentiasa memastikan dapat memberikan teknologi terbaik dan nilai tambah yang tinggi kepada pasaran dan yakin gandingan ini amat dihargai oleh pengguna Malaysia.

Fong berkata, Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10) yang mengunjurkan capaian jalur lebar sehingga 75 peratus rakyat negara ini menjelang 2015 menjadi pemangkin terhadap peningkatan penguasaan jenama berkenaan dalam pasaran perisian pengurusan keselamatan data di kalangan pengguna Malaysia.

“Kami menjangkakan pertumbuhan ketara bukan saja jumlah pengguna dalam talian tetapi juga terhadap kekerapan penggunaan perkhidmatan jalur lebar untuk laman sosial, perbankan elektronik, urus niaga dalam talian, komunikasi dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis sama, Kaspersky Lab turut mengumumkan pelantikan pemain badminton perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai duta pertama Kaspersky Lab di Malaysia.

Pemilihannya sebagai duta Kaspersky Lab menjadi sebahagian daripada usaha global jenama ini untuk menyerlahkan statusnya sebagai peneraju global sambil menampilkan elemen unik tempatan menerusi langkah bekerjasama dengan personaliti tempatan yang sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai peneraju dalam bidang masing-masing.

Kaspersky Internet Security 2011 dan Kaspersky Anti-Virus 2011 boleh diperoleh di semua peruncit dan cawangan IT terkemuka seluruh negara.

Harga jualan yang disyorkan adalah RM100 untuk seorang pengguna bagi Kaspersky Internet Security 2011 dan RM160 bagi tiga pengguna.

Kaspersky Kaspersky Anti-Virus 2011 pula berharga RM70 untuk seorang pengguna dan RM110 untuk tiga pengguna.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url