Sepanyol No: 1 Dunia, Itali merudum
Juara dunia, Sepanyol kembali ke tangga teratas senarai ranking Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan semalam tatkala Brazil merosot ke tangga ketiga dan Itali merudum ke tangga ke-11.
Finalis di Piala Dunia Afrika Selatan 2010, Belanda juga melonjak mengatasi Brazil di tangga kedua, naik dua anak tangga manakala England, turut membuat kejutan apabila melonjak satu tangga untuk berada di tangga ketujuh walaupun mempamerkan persembahan mengecewakan pada temasya Piala Dunia yang berakhir minggu lalu.
Uruguay, pasukan yang mara ke separuh akhir membuat lonjakan paling ketara apabila mendaki 10 anak tangga untuk berada di tangga keenam manakala juara dunia 1998, Perancis menjadi pasukan handalan paling merosot dengan tercicir 12 anak tangga ke tempat 21.
Barisan kuda tua Itali yang muncul juara Piala Dunia 2006, turut merosot enam anak tangga.
Jerman dan Argentina masing-masing menokok dua tangga ke tangga keempat dan kelima.
New Zealand turut mencatat peningkatan besar apabila melepasi 24 tangga untuk berada di tangga ke-54 selepas tidak tewas dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia manakala tuan rumah temasya 2010, Afrika Selatan melonjak 17 anak tangga ke tempat ke-66.
– Reuters