Era dakwah Rasulullah
Ini membawa kepada Perjanjian Aqabah Ula (Pertama) yang menyaksikan 12 daripada suku kaum Aus dan Khazraj datang daripada jauh menemui Nabi SAW untuk berbaiah.
Walaupun baginda telah beratus tahun meninggalkan kita namun kita juga boleh berbaiah atas perkara yang sama. Sebagai pengikut, adalah menjadi tanggungjawab kita mematuhi apa juga saranan baginda.
Baiah kita seperti berjanji untuk tidak mensyirikkan Allah dengan apa juga bentuk kuasa yang lain. Malah kalau kita benar-benar menghayati kepentingan berbaiah itu untuk tidak melakukan zina misalnya, tentulah pada hari ini, gejala itu tidak berleluasa.
Selepas setahun Perjanjian Aqabah yang pertama itu, datang pula 70 Muslim (ada sesetengah menyebutnya seramai 75 orang dan beberapa orang yang masih musyrik) dari Yathrib berbaiah dengan baginda.
Baiah kali ini lebih besar, sehingga ia dikenali sebagai Baiah Aqabah Al Kubra.
Disebabkan jumlah lebih besar, maka Rasulullah perlu lebih berhati-hati kerana bimbang perkara itu akan sampai ke pengetahuan kafir Quraisy Mekah.
Mereka tidak boleh mendengar mana-mana pihak yang cuba untuk berada di belakang baginda kerana semua itu menunjukkan Nabi SAW semakin berpengaruh yang boleh melemahkan kedudukan dan kekuasaan mereka.
Lalu perjanjian yang berlangsung pada musim haji tahun 622 M adalah dalam suasana yang sangat rahsia, iaitu lewat malam pada pertengahan hari-hari tasyrik (iaitu tiga hari berturut-turut setelah hari raya korban) di suatu lorong Aqabah, tempat terletaknya Jamrah al Ula di Mina.
(Namun, menurut Haekal, perjanjian itu sebagaimana yang pertama berlaku di atas bukit Aqabah yang menyebabkan mereka perlu bersusah payah untuk mendaki)
Salah seorang daripada pemimpin Ansar, Kaab bin Malik al Ansari menukilkan kata-kata mengenai suasana ketika itu: "Kami keluar dari Yathrib untuk menunaikan ibadat haji di Mekah dan kami berjanji bertemu Rasulullah SAW di Aqabah pada pertengahan hari-hari Tasyrik.
"Maka pada malam itu kami tidur bersama kaum kami di tempat persinggahan kami. Sehingga apabila berlalu sepertiga malam. Kami pun keluar untuk memenuhi janji dengan baginda Rasulullah. Kami keluar secara diam-diam sehingga kami semua dapat berkumpul di satu lorong di Aqabah.
"Jumlah kami adalah 70 lelaki dan dua wanita turut serta iaitu Nusaybah binti Kaab, iaitu lebih dikenali sebagai Ummu Ammarah dari Bani Mazin bin An Najjar dan Asma' binti Amru atau lebih dikenali sebagai Ummu Mani dari Bani Salamah."
Menurut Kaab lagi, mereka berkumpul di lorong menantikan kehadiran baginda yang kemudiannya hadir bersama-sama dengan bapa saudara baginda iaitu al Abbas bin Abdul Mutallib.
Namun dikatakan pada masa itu bapa saudara Nabi itu belum lagi memeluk Islam, tetapi sudah menjadi tanggungjawabnya bagi memastikan keselamatan anak saudaranya itu maka Abbas pun turut bersama Nabi SAW dalam menjayakan perjanjian yang sangat besar ertinya itu.
Malah beliau juga yang membuka kata alu-aluan sebelum masing-masing bersetuju untuk berbaiah.
Ini kerana Abbas perlu menerangkan kepada mereka betapa seriusnya tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka apabila bersetuju mengikat perjanjian ini.
"Wahai sekelian orang Ansar (iaitu panggilan untuk kedua-dua suku Arab Aus dan Khazraj dari Yathrib) anak saudaraku ini tetap hendak memilih untuk bersama kamu. Oleh itu kalau kamu memang benar hendaklah kamu menunaikan apa yang diajaknya kepada kamu dan kamu memang benar-benar dan sanggup mempertahankannya daripada mereka yang menentangnya," kata Abbas.
Mewakili kaum Ansar, Kaab pun bersetuju dengan kata-kata Abbas itu dan meminta Rasulullah menyampaikan butir-butir perjanjian untuk mereka berbaiah selepas itu.
Lalu apakah isi perjanjian itu kali ini?
Menurut riwayat Al Imam Ahmad;
"Dari Jabir R.A, lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah, di atas dasar apakah kami berbaiah?" Sabda Nabi SAW: Di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas mahupun malas, di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran.
"Di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah, di dalam menegakkan agama Allah itu, tidak mengira celaan orang yang mencelanya dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak-anak kamu, jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk kamu syurga."
- UTUSAN