Proton tawar program sambil bekerja
Program diploma itu yang menggunakan pendekatan Pembelajaran Melalui Berkerja ditawarkan di Politeknik Sultan Azlan bermula Jun tahun ini dan pengambilan pelajar akan diadakan dua kali setahun, pada Jun dan Disember dengan 30 orang bagi satu sesi.
Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama antara Proton dan MOE itu bagi membolehkan para pelajar mengikuti program 'belajar sambil bekerja' di syarikat pembuat kereta nasional itu selain memberi pendedahan awal kepada mereka yang mengikuti program ini dalam bidang kejuruteraan automotif.
"Kerjasama ini diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai jurutera yang terbaik di dalam bidang automotif sekali gus membantu memenuhi permintaan dan keperluan industri di masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan MOHE serta pelancaran program Diploma Lanjutan Reka Bentuk Automotif dan Kejuruteraan Pembuatan di sini hari ini.
Hadir menandatangani perjanjian itu ialah Ketua Setiausaha MOHE, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan.
Menurut Syed Zainal Abidin, pendedahan yang diberikan kepada para pelajar ini bukan saja berkesan dalam menghasilkan graduan yang menyeluruh daripada segi kemahiran tetapi juga berpengetahuan serta memiliki pengalaman 'hands-on' yang relevan.
Beliau berkata, program diploma itu mengambil tempoh tiga semester, di mana para pelajar akan berada di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak pada semester pertama dan kemudian meneruskan pengajian di Proton bagi sesi semester kedua dan ketiga.
Beliau berkata, objektif utama program pengajian itu adalah memberikan para pelajar pendedahan bersepadu terhadap industri pembuatan kenderaan.
Melalui proses pembelajaran itu 50 peratus daripadanya akan tertumpu kepada kemahiran mereka bentuk manakala selebihnya melibatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pembuatan automotif.
Program itu melibatkan bukan saja para pensyarah dari bahagian politeknik tetapi juga tenaga pengajar dari kalangan para pekerja Proton.
- UTUSAN