Mahasiswa Diingat Tidak Terpedaya Kehidupan Di Kota
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) Tan Sri Arshad Ayub berkata lokasi kebanyakan universiti khususnya UM yang terletak di tengah ibu kota menyebabkan mahasiswa mudah terpengaruh dan terpedaya dengan keseronokan kota yang sia-sia.
Beliau berkata generasi muda masa kini lebih cenderung membuang masa dengan melepak dan berpesta sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai penuntut harapan keluarga.
"Ini termasuklah melepak di tempat berstatus tinggi seperti Starbucks, Hard Rock Cafe, Planet Hollywood dan banyak lagi kelab sosial yang boleh menganggu tumpuan pengajian di universiti," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Haluansiswa dan Upacara Lafaz Akujanji pelajar baru UM di Kuala Lumpur hari ini.
Arshad berkata kebebasan yang diperoleh semasa di universiti harus diurus dan dimanfaat dengan sebaik mungkin.
"Jika kebebasan ini tidak diurus engan baik, terdapat masalah yang datang termasuklah dalam bentuk kejutan budaya," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi AmanahRaya Investment Bank (Malaysia) mengingatkan mahasiswa agar menguruskan biasiswa atau pinjaman yang diperoleh dengan baik dan tidak menyalahgunakannya.
Arshad berkata masalah penyalahgunaan wang mahasiswa adalah disebabkan keghairahan mereka untuk memiliki gajet model terkini, yang kebanyakannya boleh mengganggu dan menghakis minat membaca di kalangan penuntut.
"Cabaran teknologi masa kini seperti facebook, Skype, SMS, Twitter dan sebagainya tidak menggalakkan penggunaan bahasa yang baik, malahan melekakan sehingga waktu yang diperuntukkan untuk membaca tidak dimanfaat sebaik mungkin," katanya.
- BERNAMA