Hanya Jakim berhak keluar sijil halal
Sehubungan itu, Jakim perlu membuat persediaan rapi dengan menambah bilangan anggota penguatkuasanya sebaik sahaja pindaan diwartakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, logo halal boleh dikeluarkan oleh syarikat terpilih dengan syarat segala peraturan yang terdapat dalam akta berkaitan halal diikuti oleh pemohon.
"Saya harap dengan pindaan Akta Perihal Dagangan itu, Jakim dan jabatan agama Islam negeri dapat mempercepatkan proses pengeluaran sijil dan logo halal kepada pemohon bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kesahihan logo itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas masalah kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta untuk pelbagai jenis produk makanan dan restoran sejak kebelakangan ini.
Katanya, dengan pindaan akta itu, kementerian akan mendaftarkan cap dagangan pada logo halal keluaran Jakim supaya tiada pihak yang boleh melakukan peniruan.
Dengan pindaan itu juga kata Ismail Sabri, enam syarikat yang mengeluarkan sijil halal kepada pengusaha dan pemilik produk makanan termasuk Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Majlis Penyelidikan Makanan Islam (IFRC), SAS-H Consultancy, Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak, Majlis Makanan Halal Asia Tenggara dan IFANCA International terpaksa menghentikan peranan tersebut.
Beliau menjelaskan, kerajaan membenarkan beberapa pihak mengeluarkan sijil halal untuk mempercepatkan proses permohonan syarikat dan pengusaha makanan halal selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal.
Katanya, sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta itu bagaimanapun menimbulkan kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap kesahihannya.
"Masalah keyakinan pelanggan terhadap logo halal semakin teruk berikutan terdapat beberapa syarikat yang menggunakan logo halal palsu," ujarnya.
- UTUSAN