Jerawat punca remaja stres

Ketika menghadiri seminar perubatan di ibu kota saya bertemu seorang sahabat lama yang kini menjadi pakar psikologi dan psikiatri. Kami keluar makan bersama sambil bertukar pendapat dan pengalaman. Menurut sahabat saya masalah jiwa di kalangan remaja meningkat lebih tinggi. Antara punca utama disebabkan kurang keyakinan diri dan masalah kecantikan. Mereka berasa diri kurang menarik berbanding rakan-rakan menyebabkan jiwa tertekan.

Isu tersebut amat menarik perhatian kerana saya mendapati remaja sekarang begitu mengambil berat perihal penampilan diri mereka.

Masalah kulit di kalangan remaja termasuklah jerawat, parut lama disebabkan jerawat, kulit kusam, berminyak dan tidak sekata. Remaja biasanya tidak bermasalah dari segi pigmentasi kerana usia yang muda. Pigmentasi biasanya berlaku semasa hamil dan apabila usia meningkat. Bagi remaja, masalah paling kerap terjadi disebabkan kemerosotan paras hormon adalah jerawat yang teruk.

Menurut sahabat saya, beliau pernah mengendalikan kes seorang remaja yang menjadi murung dan enggan keluar rumah kerana wajahnya berjerawat batu. Remaja dibawa ibunya berjumpa dengan ramai pakar kecantikan namun tetap tidak pulih. Jerawatnya terlalu resistant sehingga mencacatkan wajah. Dia telah diberikan antibiotik selama hampir dua tahun dan turut di bekalkan dengan Retin A. Namun tiada perubahan. Sahabat saya mencadangkan agar saya mencari jalan untuk merawat masalah tersebut.

Jerawat dan punca

Jerawat boleh dianggap sebagai bisul kecil yang menyerang kulit muka atau badan. Jerawat bukan saja menyerang muka malah leher dan badan apabila hormon tidak seimbang.

Kuman jerawat terdiri daripada jenis corynebacterium yang berbentuk koma. Kuman ini membina rumahnya di dalam epidermis. Ia mengeluarkan enzim yang mampu menghancurkan epidermis dan membolehkannya membiak hingga ke dermis.

Lebih dalam ia masuk ke dalam kulit maka lebih seriuslah masalah jerawat. Biarpun jerawat sembuh tetapi parut yang ditinggalkan adalah dalam dan kelihatan hodoh. Parut yang dalam membuatkan kulit tampak berbintik-bintik .

Jerawat yang teruk menimbulkan stigma sosial kerana ia menyebabkan kulit berparut. dan mengubah rupa seseorang. Seseorang gadis atau pemuda yang lawa akan kelihatan tidak menarik jika dihinggapi jerawat. Penampilan juga akan terjejas.

Kuman jerawat mudah hidup apabila sebaceous gland menjadi aktif. Sebaceus gland merupakan kelenjar pengeluar cecair berminyak yang melembapkan kulit kita. Kelenjar sebaceus penting kerana tanpanya kulit akan kering dan mengelupas. Namun apabila ia terlalu aktif kulit akan menjadi berjerawat. Kuman jerawat mudah hidup dan membiak pada jenis kulit yang begini.

Oleh itu seseorang yang mempunyai banyak hormon androgen mudah terkena jerawat. Hormon androgen merangsang pengeluaran sebum dari kelenjar sebaceous. Kerana itulah sesetengah doktor mencadangkan pil perancang keluarga bagi mengatasi masalah jerawat. Pil tersebut merupakan sejenis hormon wanita yang boleh membantu menghalang pembentukan jerawat.

Sebum yang banyak terhasil akibat lebihan endrogen menyebabkan pori-pori tersumbat, bintik-bintik hitam dan putih terhasil. Corynebacterium akan mula membiak, jerawat juga terhasil.

Rawatan

Selalunya rawatan jerawat terdiri daripada antibiotik, pil hormon dan Isotretinoin selain amalan kebersihan dan rawatan muka. Isotretinoin sangat berkesan kerana menyebabkan pengeringan kelenjar sebum. Rawatan itu menjadikan kulit tidak berminyak dan mengurangkan jerawat dengan berkesan. Namun begitu, untuk mendapat kesan yang baik , Isotretinoin perlu dimakan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga bulan untuk dilihat kesannya. Oleh kerana pengambilan oral yang lama, pengumpulan ubat ini di dalam badan boleh menimbulkan kesan sampingan sistemik seperti gangguan hati, kemurungan, kekeringan kulit dan bibir dan gangguan penglihatan malam. Bagi wanita ia boleh menyebabkan kecacatan janin jika ubat ini diambil waktu mengandung.

Rawatan Photo Dynamic Therapy pernah popular untuk jerawat. Sejenis krim disapu pada muka untuk meningkatkan penyerapan cahaya ketika rawatan. Krim dibiarkan selama 20 hingga 60 minit untuk diserap ke dalam kulit. Selepas itu pesakit akan diletak di bawah lampu khas yang mengeluarkan cahaya khas lalu diserap oleh kulit . Kesannya akan menyebabkan pengecilan saiz pori-pori muka dan kulit kurang berminyak. Rawatan perlu dilakukan beberapa kali selang sebulan. Namum begitu, ia menjadi tidak popular kerana selepas menjalani rawatan, kulit muka akan kemerahan dan mengelupas selama tiga hingga lima. Rawatan juga tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit gelap.

Kaedah terbaru

Kini terdapat dua kaedah rawatan terbaru untuk merawat jerawat. Pertama adalah dengan foto terapi. Rawatan ini menggunakan sejenis alat perubatan yang dinamakan Isolaz. Ia adalah satu satunya alat perubatan yang diberi kelulusan FDA untuk merawat jerawat jenis 1 - 6 . Ini bermakna , jika jerawat anda gagal dirawat dengan antibiotik , hormon atau Isotretinoin , harapan masih ada dengan Isolaz.

Bagaimana Isolaz berfungsi

Isolaz berfungsi dengan dua cara. Pertama ia akan menyedut segala kekotoran dan sebum pada jerawat. Kedua, mesin ini akan mengeluarkan sinaran cahaya khas untuk membunuh bakteria dan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini tidak memerlukan penyediaan khas malah tidak sakit dan tiada kesan sampingan. Selepas rawatan, pesakit boleh terus mengerjakan aktiviti harian. Kesan rawatan boleh dilihat selepas 24 hingga 48 jam di mana jerawat akan kecut dan kering. Namun begitu, untuk mendapat rawatan yang berkesan, setiap orang perlu menjalani rawatan sebanyak 10 sesi iaitu sekali setiap seminggu.

Laser

Rawatan kedua yang berkesan adalah laser. Rawatan ini sangat berkesan untuk jerawat yang disebabkan bakteria corynebacterium. Sejenis laser yang dinamakan Long Pulse Nd: Yag digunakan untuk jerawat. Pada tenaga dan wavelength tertentu, laser akan diserap ke dalam kulit dan membunuh kuman secara langsung. Kesan laser juga akan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini juga akan mengecutkan jerawat dalam masa 24 hingga 48 jam. Rawatan laser juga boleh dilakukan seminggu sekali untuk lima ke 10 sesi rawatan.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url