'Malu tak bertempat' rosakkan maruah Melayu

Oleh Khairol Anuar
Pakar Psikologi dan Ketua Perunding K&A Applied Psychology Consultancy

SPEKTRUM masalah sosial yang sedang melanda berubah daripada kenakalan remaja sehingga yang lebih berat seperti pembuangan bayi dan jenayah lain. Ia menarik perhatian setiap lapisan masyarakat kerana apa yang dilalui sekarang amat asing dengan kita sepanjang ingatan sejarah negara.

Masalah yang timbul pula pelbagai dan menakutkan. Seolah-olah kita semua terhambat sama dan timbul juga kebimbangan adakah ini ancaman kepada agenda kita? Jika benar mengganggu agenda pembangunan negara, semestinya kita perlu berganding bahu untuk sekurang-kurang meredakan sedikit ancaman itu dan menyusun strategi terbaik.

Artikel ini terhad kepada pandangan psikologi dan segala ruang lingkupnya. Dengan kata lain, kita mestilah mengambil kira pandangan pakar lain juga contohnya ahli sosiologi, pakar agama, pendidik dan pihak berkaitan kerana pasti ada pandangan lebih baik, lantaran perspektif psikologi saja tidak dapat mengupas isu sosial.

Perbincangan ini turut melihat dari segi psikologi-Melayu dan psikologi-sosial. Kedua-dua paksi perbincangan ini akan meninggikan profil kecerdikan minda, kecerdikan moral/akhlak, kecerdikan emosi, dan kecerdikan rohani/spiritual.

Penulis juga ingin menarik perhatian kepada istilah yang akan digunakan selepas ini, iaitu masalah sosial atau krisis moral. Persoalannya ialah adakah gejala sosial boleh dihadkan hanya kepada masalah sosial atau ia sebenarnya sudah mencapai krisis moral.

Pengistilahan ini amat penting kerana ia akan mencorakkan pemahaman, strategi dan juga tindak balas kita. Jika seseorang remaja melakukan kenakalan ia masih boleh diterima, tetapi jika membabitkan jenayah pada usia bawah umur, patutlah kita berasa bimbang.
Ringkasnya masalah sosial adalah petanda krisis moral, lebih-lebih lagi membabitkan bawah umur, iaitu bawah usia 16 tahun, kita kena lebih berhati-hati. Contohnya kenakalan sudah mencecah krisis moral, tetapi masyarakat secara am melihat ia masih sebagai kenakalan remaja. Ini antara sebab ibu bapa tidak dapat mengenal pasti krisis moral anak.

Satu perkara lagi, setiap perkara sumbang yang dilakukan bukan berbentuk ‘in situ’ di kawasan bandar, tetapi turut menular ke luar bandar. Isunya hampir sama seperti di atas kerana dulu jenayah banyak berlaku di bandar, maka luar bandar selalunya diketepikan. Jika ada pun, masyarakat lebih cenderung mengambil sikap menafikan atau ‘denial’.

Maka akan terpacul di mulut mereka si pelaku itu orang luar, walaupun si pelaku sebenarnya tinggal sekampung. Sekarang pula, apabila ada perkara sumbang berlaku, ramai tidak mahu masuk campur kerana sikap ibu bapa remaja itu sendiri yang menafikan dan mempertahankan anak. Maka timbul satu lagi gejala, iaitu kelemahan sebagai jadi ibu bapa.

Bagi tajuk psikologi Melayu, penulis amat tertarik dengan sebuah buku Psikologi Melayu (1993) Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), diselenggara Prof Abdul Halim Othman. Satu tajuknya ialah Konsep Malu Orang Melayu tulisan Mohamed Mansor Abdullah.

Menurut penulis itu, definisi malu kepada orang Melayu mempunyai subkonsep tersendiri iaitu rasa malu, diberi malu, mendapat malu dan dimalukan. Semuanya akan menjadikan orang Melayu boleh bertindak di luar kebiasaan dan melampau.

Contohnya, apabila seseorang remaja mendapat malu atau dimalukan, dia sanggup merempit untuk menghilangkan rasa malu, boleh bertindak agresif apabila dimalukan dan boleh diajak bertumbuk. Lebih malang lagi, ada yang sanggup membuang bayi baru lahir. Pada orang Melayu, mereka sanggup buat apa saja asalkan perasaan malu itu hilang.

Boleh disimpulkan bahawa orang Melayu secara semula jadi adalah bangsa pemalu, tetapi jika perasaan itu hilang, akan timbul malu jenis lain pula yang menghancurkan hidup. Jadi apabila konsep malu untuk berbuat dosa hilang dan perbuatan untuk menghilangkan malu berdosa pula lebih tinggi, maka akan wujud kepincangan dalam masyarakat.

Ini pandangan dari sudut kajian orang Melayu, terutama sekali sifat malu orang Melayu yang disalah anggap oleh remaja Melayu sekarang. Mungkin mereka buta dengan sifat nenek moyang yang lebih meninggikan sifat mulia Melayu, iaitu budi. Budi Melayu sinonim dengan apa dikatakan akhlak atau moral Melayu.

Berbalik kepada persoalan psikologi yang kedua, psiko-sosial. Penulis mahu meminjam disiplin sosiologi, terutama berkaitan urbanisasi. Urbanisasi pada penulis bukan setakat kedudukan geografi, tetapi lebih kepada kesedaran minda. Meskipun duduk jauh dari bandar, pemikiran lebih ultra bandar kerana perkembangan era digital.

Mungkin inilah alasan yang ada dalam pemikiran remaja bahawa jika mereka membuat salah, tiada sesiapa tahu dan tiada sesiapa peduli. Maka seks rambang berlaku sehinggalah melengkapkan persepsi tadi dengan membuang bayi. Kerana tiada siapa pun peduli.

Keadaan ini menepati ciri Generasi Y (generasi lahir 1980-an hingga lewat 1990-an), selepas generasi ‘baby boomers’ (generasi lepas perang) yang diikuti Generasi X (lahir 1960-an hingga lewat 1970-an). Generasi X amat terpengaruh dengan budaya hedonistik contohnya hippies, muzik, LSD atau dadah, Generasi Y pula dengan kemewahan ekonomi dan teknologi.

Jika Generasi X ingin membuat sesuatu, mereka perlukan rakan yang boleh menjadi sokongan sosial, tetapi tidak bagi Generasi Y kerana mereka mahu membolot kemewahan dan bersendiri dengan kecanggihan teknologi mampu mereka beli. Jika berlaku sesuatu, mereka tiada rakan dan buat keputusan sendiri hingga akhirnya berani membuang bayi, misalnya.

Dari perspektif ini, kita akan lihat ada pertentangan idea, iaitu pertama kerana perasaan malulah, orang Melayu bertindak dan kedua kerana tiada perasaan malulah menjadikan orang Melayu membuat jenayah. Pada pandangan penulis, pada mula seseorang itu ingin membuat jahat, dia sanggup melakukannya kerana tiada perasaan malu.

Pada pandangan mereka tiada siapa melihat, termasuk rakaman perlakuan sumbang, tetapi sejurus sedar ada orang boleh melihat atau ada bukti, contohnya bayi luar nikah dilahirkan, mereka akan terjerumus melakukan jenayah lebih berat.

Bagi mat rempit, perasaan malu timbul jika tidak boleh menunjukkan kehebatan. Perlu diingat orang Melayu sanggup berkorban apa saja untuk menutup malu. Jadi untuk menutup malu kerana enggan dilabelkan lemah, mereka merempit untuk membuktikan kejaguhan.

Kesimpulannya, apa yang berlaku sekarang dalam masyarakat Melayu ialah celaru jati diri atau ringkasnya, malu tak bertempat. Jika perasaan malu disalur dengan baik, maka bangsa kita pasti lebih cemerlang.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url