Argentina tewas 0 - 4 di tangan Jerman di Suku Akhir Piala Dunia 2010



CAPE TOWN - Selepas Brazil, semalam giliran Argentina pula tersingkir pada kempen Piala Dunia 2010.

Skuad kendalian Diego Maradona itu ditunjukkan jalan keluar oleh Jerman apabila tewas 0-4 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Green Point.

Jerman bermula garang apabila Thomas Mueller berjaya menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan percuma yang diambil Bastian Schweinsteiger seawal minit ketiga.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan Jerman, Argentina kembali memperkemaskan jentera serangan, namun mereka masih gagal memecah kebuntuan bagi mencari gol penyamaan sehingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, asakan bertali arus Jerman ternyata membuahkan hasil apabila mereka menambah tiga lagi gol masing-masing menerusi Miroslav Klose pada minit 68 dan 89 serta Arne Friedrich (74).

Kelemahan benteng pertahanan Argentina jelas kelihatan apabila banyak melakukan kesilapan mudah, sekali gus memberi ruang buat barisan pemain muda Jerman merobek gawang mereka.

Kejayaan Jerman menumbangkan gergasi Amerika Selatan itu membawa mereka ke saingan separuh akhir awal pagi Khamis ini.

– Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url