Jerman guna taktik petak segi empat
Gambar menunjukkan Miroslav Klose dari Jerman menerima hantaran bola daripada seorang pemain sebelum dia menjaringkan gol semasa menentang skuad Argentina di Stadium Green Point, Afrika Selatan pada Sabtu lalu.
Jurulatih Jerman, Joachim Loew buat pertama kalinya mendedahkan taktik yang menyebabkan pasukan bola sepaknya mengamalkan pendekatan permainan moden sehingga menumbangkan pasukan lawan dengan jaringan gol yang banyak pada Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Skuad Jerman itu yang tidak mempunyai ramai bintang bola sepak membuat kejutan apabila melangkat ke separuh akhir dengan mudah berbanding pasukan seperti Brazil, Argentina dan England yang tewas di peringkat awal. Apakah rahsia pasukan Jerman itu yang pernah menjadi juara Piala Dunia pada 1954, 1974 dan 1990.
Jurulatih Jerman itu buat pertama kalinya mendedahkan kejayaan pasukan itu kepada sebuah akhbar di Jerman yang menyiarkan kenyataannya semalam.
Loew mendedahkan bahawa dia menggunakan taktik petak segi empat sama bagi memenangi perlawanan dan seterusnya Piala Dunia.
Jerman sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang berjaya tetapi kali ini, mereka turut menonjolkan corak permainan bola sepak yang menakjubkan.
Pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Dunia setelah menewaskan Australia 4-0, Ghana 1-0, tewas kepada Slovakia 1-0 dan seterusnya menundukkan England 4-1 serta Argentina 4-0. Bagaimana Loew mencapai kejayaan tersebut?
"Perancangan tentang corak permainan kami di Piala Dunia 2010 telah lama difikirkan iaitu sejak daripada undian perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 4 Disember, tahun lalu," katanya Loew.
Menurutnya, pasukan Jerman cuma boleh merangkul Piala Dunia dengan corak serangan agresif sekali gus menyukarkan pihak lawan semasa di padang.
"Kaedah yang digunakan Itali bagi memenangi Piala Dunia pada 2006 dengan mengamalkan corak bertahan dan menang cuma menerusi satu gol sudah lapuk. Anda tidak akan ke mana-mana dengan bermain seperti itu sekarang. Kami merancang untuk Piala Dunia sehingga mencapai ke perlawanan akhir," jelasnya.
Taktik jurulatih berusia 50 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Jerman berjaya menjaring 13 gol setakat ini. Pasukan bola sepak berkenaan juga merupakan yang paling agresif pada Piala Dunia kali ini.
Bagaimana taktik Loew berkesan?
Dia membahagikan padang bola kepada 18 petak segi empat sama yang sama luas.
"Bagaimana kami menyusun dan mengawal permainan di petak-petak berkenaan merupakan faktor paling utama untuk permainan bola sepak yang hebat," kata Loew.
"Setiap pemain perlu tahu posisi mereka pada petak-petak itu supaya tiada pemain bergerak ke serata padang dengan sewenang-wenangnya. Sesetengah petak itu perlu sentiasa dikawal," jelasnya.
Taktik itu bermakna bola sentiasa bergerak dari satu petak ke petak lain sehingga mereka mendekati gol lawan.
Penyerang Jerman, Lukas Podolski dan Thomas Müller sentiasa mengawal bahagian kiri dan kanan padang.
Pemain tengah, Mesut Ozil mengawal segi empat sama di antara garisan tengah padang dan kawasan penalti pasukan lawan manakala Bastian Schweinsteiger melindungi kawasan di antara kawasan penalti pasukannya dan garisan tengah. Taktik tersebut menjadikan Schweinsteiger pemain paling penting dalam skuad Jerman.
Dia merupakan penggerak pasukan Jerman dengan menggerakkan Ozil dan pemain-pemain sayap selain mengatur barisan pertahanan.
"Schweinsteiger mengepalai dan mengatur pasukan itu dengan sempurna," ujar Loew.
Jurulatih berkenaan menamakan taktik keduanya sebagai 'sepak dan lari'.
"Permainan bukan berakhir apabila kami memiliki bola. Saya mahu melihat pemain-pemain bergerak dalam petak mereka dan meminta bola. Dengan cara ini, corak permainan kami adalah lebih dinamik dan lancar.
"Saya tahu beberapa pemain kami amat pandai bermain seperti itu," katanya.
Semua sesi latihan tersebut dirakamkan dan corak larian setiap pemain dianalisis.
"Anda tidak dapat merancang gerakan sempurna semasa sesi latihan. Namun, terdapat mekanisme dan prosedur yang sentiasa sama. Kami akan memperbaiki dua aspek berkenaan," jelas Loew.
Contoh terbaik mekanisme sama itu adalah corak serangan balas pantas oleh Jerman yang membawa kepada kemenangan 4-1 ke atas England.
Serangan balas bermula dengan hantaran jauh daripada Miroslav Klose yang diikuti oleh hantaran lintang daripada Ozil seterusnya jaringan gol oleh Muller.
"Itulah gerakan yang sempurna," ujar Loew.
Pada masa yang sama, dia turut menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan yang terbaik daripada setiap anak buahnya.
Sebelum perlawanan menentang Argentina bermula, Loew menunjukkan beberapa gambar demam Piala Dunia yang melanda rakyat Jerman. "Gambar-gambar itu menaikkan semangat juang kami semua," katanya.
- Agensi