Jualan kenderaan naik

Jualan kenderaan, iaitu antara petunjuk keyakinan pengguna terhadap prospek ekonomi negara, disasarkan mencatatkan rekod tertinggi tahun ini dengan unjuran 570,000 unit, mengatasi rekod pada 2005 sebanyak 552,326 unit.

Unjuran itu adalah peningkatan enam peratus berbanding jualan sebanyak 536,905 unit tahun lalu.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata unjuran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan prestasi jualan memberangsangkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini yang menyaksikan pertumbuhan hampir 20 peratus berikutan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Di samping itu, beliau menegaskan, unjuran itu juga dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor lain termasuk pertambahan tempahan dalam separuh pertama lalu dan sentimen positif pengguna berikutan kestabilan dalam pasaran kerja.

“Peningkatan jualan turut disandarkan kepada kadar faedah yang kekal rendah, peningkatan keyakinan perniagaan, serta kesan gandaan daripada pakej rangsangan diumumkan kerajaan pada tahun lalu.

“Berdasarkan faktor positif berkenaan, industri automotif tempatan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh empat tahun akan datang dengan purata pertumbuhan dua peratus kepada 581,000 unit pada 2011; 592,000 unit pada 2012, 604,000 (2013) dan 618,000 (2014),” katanya pada taklimat media bagi mengumumkan prestasi industri automotif bagi separuh pertama 2010, di Petaling Jaya, semalam.
Mengenai prestasi jualan dalam enam bulan pertama tahun ini, Aishah berkata, angka jualan 301,077 unit yang dicatatkan dalam tempoh itu adalah peningkatan 19.8 peratus berbanding 251,305 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kereta penumpang terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jualan, mewakili 90.3 peratus atau 271,873 unit.

Namun, Aishah berkata, jumlah itu menyusut sedikit berbanding 90.9 peratus atau 228,420 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Dari segi unit jualan dalam tempoh enam bulan itu, kereta menyumbang peratusan terbesar iaitu 76 peratus, diikuti kenderaan pelbagai guna atau MPV (21 peratus), kenderaan pacuan empat roda (dua peratus) dan van (satu peratus),” katanya.

Aishah berkata, Perodua terus mengungguli jualan segmen kereta penumpang dengan jualan sebanyak 94,936 unit; diikuti Proton dengan 80,051 unit; Toyota (34,943 unit); Honda (22,144 unit); Nissan (13,406 unit); dan Naza (5,409 unit).

Mengenai peningkatan kadar faedah dan kenaikan harga minyak yang umum menjangkakan boleh menjejaskan prestasi jualan kenderaan tahun ini, Aishah berkata, beliau yakin ia dijangka hanya memberikan kesan minimum.

“Harga minyak di Malaysia masih lagi rendah dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand dan Indonesia, dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan sentimen pengguna,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url