Kad kredit antara punca hutang besar

Lebih 10 juta pengguna kad kredit di negara ini mempunyai jumlah tunggakan RM24.4 bilion tetapi hanya 30 peratus daripada mereka membayar balik baki penuh setiap bulan.

Statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 itu juga menunjukkan pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.
Pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.

Kajian juga menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.

Faktor kadar faedah tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang lebih mengaut untung serta sikap pengguna tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit.

Walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata keghairahan memiliki kad kredit itu terlalu kuat terutama kepada golongan muda yang baru terbabit dunia pekerjaan dan menjalani kehidupan sebenar.

Walaupun berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, jumlah pengguna kad kredit yang diisytiharkan muflis mencatatkan penurunan tetapi masih pada kadar membimbangkan iaitu 1,346 kes pada 2005; 790 kes (2006); 797 kes pada 2007; 647 kes pada 2008; 570 kes 2009 dan 267 sehingga Mei 2010.

Sehubungan itu, FOMCA menyarankan bank dan institusi kewangan yang memberi pinjaman harus mengambil tindakan drastik menangani masalah ini dengan memikirkan kaedah penyelesaian terbaik, bukannya meletakkan nilai komersial dan keuntungan sebagai keutamaan mereka.

“Sebagai pengguna kita memang ada keinginan dan ramai yang memohon kad kredit tanpa memikirkan kemampuan membayar balik. Pihak bank perlu lebih peka dengan mengetatkan prosedur permohonan dan kelulusan supaya mereka yang layak saja diberikan kemudahan ini.

“Ada sesetengah bank meluluskan permohonan dengan mudah tanpa menyelidik status kewangan pemohon. Sepatutnya mereka pastikan dan kaji latar belakang serta kemampuan pemohon. Ada yang menawarkan pelbagai, seolah-olah berlumba mencari pelanggan kad kredit,” katanya.

Selain prosedur kelulusan longgar, FOMCA turut mendedahkan ada pengguna kad kredit sanggup berhutang kerana mahu hidup gaya mewah termasuk bertujuan semata-mata mahu menyertai kumpulan anak muda daripada golongan kaya.

Walaupun penggunaan kad kredit diperlukan dalam banyak urusan tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan kepada pihak bank untuk memerangkap pengguna dengan pelbagai syarat terselindung di sebalik syarat perjanjian yang ditandatangani pemegang kad kredit.

- BERITA HARIAN

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.