Persepsi positif berhubung daging kambing

Selama ini ramai yang beranggapan daging kambing boleh mengundang kepada pelbagai penyakit terutama mereka yang menghidap hipertensi. Persepsi itu secara tidak langsung menyebabkan pasaran daging kambing tempatan di negara ini kurang mendapat sambutan.

"Boleh dikatakan masih ramai masyarakat di negara kita yang beranggapan bahawa mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi misalnya tidak digalakkan untuk makan kambing.

"Sedangkan kajian oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mendapati kandungan kolesterol dan kalori dalam daging kambing tempatan sebenarnya lebih kurang sama dengan daging lain," kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar selepas merasmikan upacara Promosi Daging Kambing Keluaran Tempatan. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Abd Aziz Jamaluddin.

Disebabkan persepsi tersebut masyarakat Malaysia lebih bertumpu untuk makan daging lembu sehingga ramai penternak kambing mengeluh apabila sukar untuk memasarkan produk mereka.

Kata Noh, untuk mengelakkan persepsi berkenaan terus bermain di fikiran orang ramai, kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi penerangan yang lebih jelas mengenainya.

Pada masa yang sama, kementerian juga telah mengambil langkah dengan mempromosikan kambing tempatan dalam usaha membantu pengusaha tempatan memasarkan produk mereka.

Menurutnya, program promosi kambing tempatan akan terus diadakan dan melibatkan penyertaan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi di bawah kementerian dan pelanggan-pelanggan di peringkat negeri.

"Kementerian akan mengenalpasti lokasi strategik terutamanya kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar-pasar tani di seluruh negara untuk program Promosi Makan Daging Kambing Tempatan.

"Dengan usaha-usaha mempromosikan daging kambing tempatan ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup pengusaha dan seterusnya memajukan lagi ekonomi negara," katanya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url