Rahsia Sepanyol juara
SEPANYOL yang pernah dilabelkan sebagai pasukan underachiever di persada bola sepak antarabangsa melakar sejarah tersendiri dengan menjulang dua piala berprestij dalam tempoh dua tahun.
Pasukan yang mendapat jolokan La Roja telah membuktikan mereka setanding dengan pasukan hebat dunia apabila menjuarai Euro 2008 dan menjulang trofi Piala Dunia 2010 baru-baru ini.
Bagaimanapun, kejayaan pasukan Sepanyol tidak datang bergolek tetapi dengan semangat juang yang tinggi dan pendekatan gaya permainan Tiki Taka menjadi resipi generasi emas bola sepak La Roja.
Pendekatan gaya Tiki Taka cukup mengujakan penonton yang menyaksikan perlawanan pasukan Sepanyol dengan menekankan permainan pantas, kawalan dan berpuluh hantaran bola menarik sehingga pihak lawan keletihan disusuli serangan.
Permainan cantik itu terbukti berkesan apabila Sepanyol hanya tewas dua kali sahaja sejak November 2006 sekali gus menamatkan kemarau 44 tahun menjuarai piala berprestij dengan menewaskan pasukan Jerman untuk menjuarai Euro 2008 di bawah kendalian Luis Aragones.
Tiki Taka yang diperlihatkan dalam pasukan Sepanyol sebenarnya mempunyai pengaruh permainan Total Football yang cukup sinonim dengan Belanda.
Bahkan, permainan cantik yang ditonjolkan Sepanyol sudah lama menjadi asas kelab gergasi Barcelona apabila legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff menjadi jurulatih pasukan tersebut pada tahun 1988.
Ini terbukti apabila sembilan pemain kebangsaan Sepanyol yang menjulang Piala Dunia 2010 merupakan produk akademi bola sepak remaja Barcelona, La Masia.
Mereka ialah Victor Valdes, Pepe Reina, Carles Puyol, Gerard Pique, Sergio Busquets, Xavier Hernandez, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Pedro Rodriguez.
Kesinambungan permainan cantik gaya Tiki Taka kelab Barcelona diteruskan jurulatih Belanda Louis van Gaal dan Frank Rijkaard sehingga menjadi ikutan pasukan Liga Sepanyol yang lain.
Bekas jurulatih Belanda yang berkhidmat di Barcelona juga tidak terkecuali mengenengahkan bakat-bakat muda dari akademi remaja La Masia ke dalam skuad senior sehingga memberi impak kepada pasukan kebangsaan Sepanyol.
Senarai bakat-bakat muda itu terlalu ramai tetapi ia termasuk pemain tengah Sepanyol, Busquests yang membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia 2010.
"Anda perlu menyebut Van Gaal dan Cruyff yang tidak takut mengenengahkan pemain-pemain penting daripada sistem remaja.
"Rijkaard juga bertanggungjawab memperkenalkan formasi 4-3-3 untuk kelab Barcelona dan membantu perkembangan pasukan kebangsaan.
"Gaya permainan dan prinsip adalah sama dengan kelab dan Sepanyol. Pada pandangan saya ia adalah satu bonus kerana memudahkan persefahaman dan kerjasama apabila bermain bersama sepanjang musim," jelasnya.
Pengaruh Tiki Taka
Sementara itu, pertahanan Sepanyol, Carlos Marchena percaya pengaruh gaya permainan Tiki Taka pemain Barcelona memberi kelebihan kepada pasukannya pada perlawanan akhir Piala Dunia menentang Belanda.
"Barcelona merupakan pasukan terbaik dunia. Mereka mengenali antara satu sama lain sehingga permainan menjadi sempurna dan menyeronokkan.
"Ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan Sepanyol mencapai kejayaan dalam Piala Dunia," kata bintang Valencia itu .
Dalam penampilan sulung perlawanan akhir Piala Dunia 2010 menentang Belanda, jaringan tunggal Iniesta pada minit ke-116 masa tambahan sudah memadai memastikan Sepanyol menjulang Piala Dunia.
Sepanyol juga melakar sejarah pasukan Eropah pertama memenangi Piala Dunia di luar benua Eropah.
Kejayaan pasukan kendalian, Vicente Del Bosque telah menerima sambutan wira sebaik pulang ke negara mereka dengan hampir sejuta orang memenuhi Madrid.
- KOSMO!