Top Ad 728x90

18 Barangan Terkawal Sempena Aidilfitri - Ismail Sabri

Kerajaan menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 18 jenis barangan harga terkawal berkuat kuasa dari 3 hingga 17 September depan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan tersebut termasuk dua barangan baru iaitu daging kerbau tempatan dan santan yang merupakan barangan keperluan bagi musim perayaan ini.

Dua barangan yang digugurkan pula adalah ubi kentang import (Indonesia dan China) serta bawang putih (China) kerana harga pasarannya yang tidak stabil, katanya semasa mengumumkan pelaksanaan skim kawalan harga tersebut di sini pada Jumaat.

Beliau berkata harga maksimum bagi santan adalah RM6.00/kg, manakala daging kerbau tempatan adalah RM19.00/kg (borong) dan RM21.00 (runcit).

Selain itu harga ayam hidup ialah (borong: RM5.40/kg, runcit: RM6.10/kg), ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal) (borong: RM6.35/kg, runcit: RM7.20/kg), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) (borong: RM7.20/kg, runcit: RM8.05/kg) dan daging lembu tempatan (borong: RM18.00/kg, runcit: RM20.00/kg).

Ismail Sabri berkata barangan harga terkawal lain termasuk daging kerbau import (India), telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import dari Indonesia dan China (tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, kacang tanah import, bawang merah kecil (India) dan ikan kembung.

Sementara itu beliau berkata kerajaan juga bersetuju memansuhkan keperluan untuk para peniaga mendapatkan lesen menjual barangan harga terkawal di musim perayaan.

"Walau bagaimanapun mereka masih tertakluk kepada peraturan lama iaitu perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Jika tidak, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau kompaun sehingga RM7,500, bagi orang perseorangan. "Bagi pertubuhan atau perbadanan denda maksimumnya adalah RM25,000 atau kompaun sehingga RM12,500," katanya.

Beliau menyeru agar pengguna bekerjasama melaporkan mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi kadar yang ditetapkan, tidak meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual dan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Pengguna boleh laporkan segera kepada pegawai kementerian yang bertugas, menghubungi pejabat kementerian atau talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan.

- BERNAMA

1 Comment:

  1. Nasib baik harga barang yang terkawal sudah diumumkan harga.

    Tuan, tolong bagi backlink blog saya ni kat sidebar.

    Saya add tuan ya..

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90