Ahad, Ogos 29, 2010

6,000 pelajar Malaysia di Indonesia diingatkan lebih waspada

Kementerian Pengajian Tinggi mengingatkan kira-kira 6,000 penuntut Malaysia di Indonesia supaya lebih berwaspada sepanjang tempoh kempen mengusir rakyat Malaysia (Sweeping Malaysian) anjuran Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, surat peringatan kepada penuntut Malaysia telah dikeluarkan menerusi Jabatan Penuntut Malaysia di negara itu baru-baru ini.

Katanya, biarpun tiada sebarang laporan penuntut Malaysia dikasari setakat ini, namun mereka tetap perlu menjaga keselamatan diri dengan lebih berhati-hati.

"Mereka diingatkan supaya keluar rumah secara berkumpulan dan tidak melalui kawasan demonstrasi bagi mengelak sebarang ancaman daripada mana-mana kumpulan yang menyertai kempen berkenaan.

"Pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan penuntut di sana dan berharap mereka sentiasa selamat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 77 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).

Kesemua mereka menerima barang makanan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan duit raya sumbangan Seri Alam Properties Sdn. Bhd. dan Parlimen Pasir Gudang.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan anggota-anggota Bendera bertekad akan melakukan demonstrasi anti-Malaysia lebih besar dalam usaha mengusir rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Ia berikutan bantahan terhadap penahanan tiga anggota penguat kuasa marin Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos lalu.

Malah anggota Bendera yang turut berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan membawa bersama lima bungkus najis manusia itu bertindak memijak bendera Malaysia.

Menurut Khaled, beliau percaya kerajaan Indonesia akan melakukan yang terbaik dan mengambil langkah pencegahan berterusan bagi menjamin keselamatan penuntut Malaysia di negara itu.

Ketika ditanya keperluan penubuhan jawatankuasa khas pemantauan, Khaled berkata, pihaknya percaya penuntut Malaysia menerusi persatuan yang ditubuhkan mampu menghadapi sebarang risiko.

"Mereka itu penuntut universiti, bukan sebarangan orang. Saya rasa tidak perlu ada jawatankuasa kerana saya percaya mereka mempunyai jalan untuk berhadapan dengan sebarang situasi," katanya lagi.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts