Awas Jualan Murah


Jualan murah, harga runtuh, tawaran potongan harga 50 hingga 80 peratus, di pusat membeli-belah sering mendapat perhatian yang menggalakkan daripada pengguna terutamanya golongan wanita yang gemar berbelanja sakan.

Persoalannya adakah jualan murah ini benar-benar wujud atau ia sengaja digunakan oleh peniaga untuk mengaut keuntungan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh negara kurang tiga minggu lagi. Ikuti laporan khas wartawan Mingguan mStar mengenai penipuan jualan murah yang diibaratkan sebagai ‘duri dalam daging’ terhadap masyarakat di negara ini.

PETALING JAYA: Sehelai selimut tertera dua label harga iaitu RM455 dan selepas diberi diskaun kononnya sebanyak 80 peratus, maka harganya turun mendadak kepada RM109.20.

Ironinya, tarikh yang tertera pada label harga diskaun ialah 10 Ogos 2009 bermakna ia dicetak pada hari berkenaan sementara label dengan harga RM455 - yang kononnya harga asal - tertera tarikh 22 Julai 2010.

Kesimpulan mudahnya ialah, pengguna ditipu oleh pihak penjual yang tidak bertangggungjawab kononnya mereka menerima harga diskaun yang sangat menarik sedangkan pembeli membayar harga asal produk yang dijual itu.

Itu baru satu contoh barangan, sedangkan terdapat ribuan produk yang dijual di situ dengan tawaran potongan harga bagi menarik perhatian pembeli yang tanpa disedari mereka sebenarnya terpedaya.

Bayangkan keuntungan yang diperoleh peniaga sekiranya taktik serupa dilakukan setiap kali promosi jualan.

Tiada siapa yang menyangka, penipuan licik seperti itu didalangi oleh pusat membeli-belah terkenal, bukannnya gerai di pasar malam atau di tepi-tepi jalan.

Merasakan dirinya tertipu dengan potongan harga yang disifatkan tidak masuk akal, seorang pengguna prihatin, Khairul Nizam Abd Maulud, 34, tampil mendedahkan perkara tersebut kepada Mingguan Mstar baru-baru ini.

“Saya sangat kecewa dengan penipuan yang berlaku. Selalunya saya akan semak tanda harga sebelum diskaun. Tapi pada hari kejadian isteri saya terlepas pandang kerana dia pergi seorang diri. Lebih malang, tanda harga sebelum diskaun tertera tarikh Julai 2010 sedangkan harga ketika promosi pula memaparkan tarikh Ogos 2009.

“Di sini jelas menunjukkan penipuan tanda harga oleh peniaga, harga promosi yang diletakkan pada barangan itu adalah harga asal produk berkenaan. Nampak sangat peniaga sengaja mencari keuntungan dengan cara yang mudah kerana mereka tahu pengguna pasti membeli produk pada harga yang murah,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi berkata, di sinilah pentingnya ilmu kepenggunaan, kerana ia dapat membantu pengguna membuat penilaian terhadap kesahihan harga sesuatu produk sebelum dan ketika promosi jualan murah diadakan.

“Membaca label dan tag harga adalah penting, tapi pengguna sering mengabaikannya. Inilah yang selalu menjadi punca kepada penipuan tanda harga. Sikap tidak suka membaca tag harga pada produk perlu dikikis, kita perlu jadi pengguna yang berhemah, biar kita jadi pengguna yang ‘alah membeli menang memakai’.

“Ini tidak pantang ternampak iklan jualan murah kita pasti akan ke pusat beli-belah berkenaan untuk membeli-belah. Kita harus membuang sikap sedemikian, sebaliknya kita perlu membeli barangan yang dirasakan perlu dan jangan membazir dalam berbelanja, barulah kita boleh menjadi pengguna yang berhemah,” katanya.

Khairul Nizam berkata, penipuan tanda harga ketika jualan murah banyak berlaku di pusat beli-belah terkemuka di negara ini saban setahun.

Pengguna Lebih Cuai Semasa Musim Perayaan

Orang ramai akan lebih leka dan cuai semasa membeli-belah khususnya semasa jualan pada musim perayaan.

Menurut pemerhatian salah seorang mangsa yang mendakwa pernah tertipu dengan slogan potongan harga, Khairul Nizam Abd Maulud, 34, akibat kesesakan yang melampau serta mahu cepat maka pengguna akan memilih barangan tanpa meneliti secara terperinci.

“Pada musim perayaan masalah ini sangat berleluasa, kerana orang ramai sibuk membeli–belah pakaian untuk ahli keluarga.

Dalam keadaan orang ramai dan bersesak-sesak mereka akan memilih tanpa melihat secara terperinci terhadap produk.

“Di sini lah kecuaian pengguna, kerana peniaga pasti akan meletakkan tanda harga yang murah selepas diskaun, sedangkan itulah harga asal barangan berkenaan.

Hakikatnya diskaun tidak wujud langsung pada barangan tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa, barangan seperti pakaian kanak-kanak, kasut, alas katil, selimut tebal merupakan produk paling banyak berlakunya penipuan tanda harga ini.

“Lebih malang, sekiranya pengguna membeli barangan yang telah rosak dan tamat tempoh seperti produk makanan. Peniaga sepatutnya lebih prihatin terhadap produk yang mereka jual,” katanya.

Jelasnya, sikap tidak kisah masyarakat untuk membuat aduan menyebabkan peniaga tidak takut untuk melakukan penipuan tanda harga pada barangan yang dijual.

“Sikap tidak kisah ini juga merupakan faktor penyumbang yang menyebabkan gejala penipuan tanda harga ketika promosi jualan murah sukar dibendung.

“Lebih menyedihkan apabila pengguna tidak serik dan terus memberi produk di pusat beli-belah yang sama ketika promosi jualan murah pada bulan seterusnya,” katanya.

Biarpun ini kali kedua perkara yang sama terkena pada keluarganya, Khairul Nizam berkata, beliau akan membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika perkara yang sama berulang lagi.

“Peniaga perlu jujur ketika meletakkan tanda harga promosi pada produk yang dijual ketika jualan murah. Janganlah hanya kerana ingin mengaut keuntungan yang berlipat-ganda mereka melupakan ihsan terhadap pengguna. Kuasa beli pengguna penting dalam mengatasi masalah ini.

“Jika mereka ternampak berlakunya penipuan tanda harga ketika jualan murah ini segeralah buat laporan kepada kementerian,” katanya.

Bagi memberi kesedaran kepada pengguna beliau juga turut menyebarkan maklumat mengenai penipuan tanda harga ketika promosi jualan murah yang beliau sendiri alami kepada rakan-rakannya di laman web sosial, Facebook.

“Selepas memuat turun gambar tag harga tersebut di akaun Facebook saya, respon yang diterima sangat menggalakkan. Ramai yang kecewa dengan penipuan sebegini. Ini juga salah satu cara untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai supaya menyedari tentang masalah tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan mengenakan denda lebih berat terhadap peniaga yang didapati bersalah melakukan penipuan tanda harga.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url