Data Banci 2010 Dikeluarkan Sekitar Mac Atau April 2011

Data keseluruhan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan dikeluarkan sekitar bulan Mac atau April tahun depan, kata Pesuruhjaya Banci Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Wan Ramlah yang juga Ketua Perangkawan Malaysia berkata data awalan berkaitan populasi di setiap negeri dan jantina, akan dikeluarkan seawal November ini.

"Kita akan mengambil sedikit masa kerana banyak laporan dan analisis yang akan dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada hari Selasa.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan akan melakukan semakan terlebih dahulu sehingga bulan September ini.

Banci Penduduk dan Perumahan 2010 telah dijalankan dalam tiga Fasa bermula 6 Julai dan berakhir 22 Ogos lalu.

"Semakan itu merupakan prosedur biasa kerana kita mengikut standard antarabangsa. Ini untuk memeriksa kualiti data yang dikumpul semasa bancian dilakukan," katanya.

Ditanya sama ada jidar selisih kekal pada tahap lima peratus ekoran cabaran yang ditempuhi sepanjang pembancian, Wan Ramlah berkata ia tidak boleh melebihi angka tersebut bagi mengekalkan kebolehpercayaan dan ketepatan data.

"Itulah sebabnya kita melakukan semakan terlebih dahulu untuk memastikan data yang dikumpul boleh dipercayai," katanya

Sementara itu, Nor Mohamed berkata data bancian itu penting untuk kerajaan menggubal dasar yang relevan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020.

"Tanpa mengetahui data secara mendalam tentang aspek penduduk dan perumahan, kita tidak dapat menggubal dasar yang relevan. Kita perlukan data yang boleh dipercayai," katanya.

"Pertumbuhan ekonomi 9.5 peratus pada separuh pertama tahun ini memperlihatkan kejayaan kita keluar dari perangkap kegawatan kewangan dan ekonomi global.

"Kita yakin dengan langkah-langkah dan strategi kerajaan yang relevan sekarang, ekonomi akan terus berkembang," katanya.

Beliau berkata selain kerajaan, ramai penyelidik, pakar ekonomi, ahli demografi, komuniti perniagaan, ahli akademik dan pengguna lain sedang menunggu data penanda aras penduduk yang baru itu.

Seramai 26,000 pembanci dengan 3,000 penyelia terlibat dalam pembancian 2010 yang membabitkan sembilan juta kediaman dan 29 juta penduduk dengan kos mencecah RM200 juta.

Banci penduduk dan perumahan dijalankan setiap sepuluh tahun dan ini merupakan yang kelima selepas penubuhan Malaysia pada 1963.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url