Dunia Blog Arif


Hidupnya dikelilingi warga asing di sebuah negara asing dan kebanyakan masanya berbicara dalam bahasa asing. Itulah yang melingkari kehidupan anak muda berusia 23 tahun, Ariff Shah Ramlan di bumi Moscow, Rusia.

Dalam keterbatasan berbudaya tempatan, namun pelajar jurusan Kejuruteraan Penerbangan di Moscow Aviation Institute itu mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan yang menjurus kepada kehidupan peribadinya. Penulisan itu dinukilkan Ariff dalam bahasa Inggeris.

Tetapi, itu kisah beberapa tahun dahulu, ketika dia mula-mula menjejakkan kaki ke negara empat musim berkenaan. Kini, Ariff begitu selesa menyampaikan buah fikirannya dalam bahasa Melayu yang nyata lebih dekat dengan jiwanya.

Melalui blog ariffshah.com, Ariff memulakan minatnya dalam bidang penulisan sekali lagi. Malah, blog yang wujud sejak setahun lalu itu ditampilkan Ariff lebih segar dan berisi dengan pelbagai isu biarpun tanpa spesifikasi khusus.

Menurut Ariff, sebelum bertukar kepada blog berbahasa Melayu, dia terlebih dahulu mewujudkan blog berbahasa Inggeris yang banyak membincangkan isu ekonomi dan politik tetapi, ia kurang mendapat sambutan.

"Apabila bertukar kepada blog berbahasa Melayu, saya mula menulis mengenai pelbagai perkara termasuk sedikit kisah peribadi yang lebih santai.

"Apabila pembaca semakin ramai, saya makin seronok menulis dan banyak menghabiskan masa lapang saya di hadapan komputer. Kadang-kadang saya juga menceritakan mengenai kehidupan saya di Moscow," kata anak jati Selangor ini.

Jana pendapatan

Biarpun sebab utama Ariff mewujudkan blog adalah kerana minat, akhirnya ia menjadi platform yang baik untuk menjana sumber kewangan.

"Dalam masa setahun saya berjaya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 hanya melalui iklan-iklan yang dipamerkan di blog di samping pelbagai hadiah menarik daripada pihak pengiklan.

"Bagaimanapun, wang bukanlah sebab utama saya terlibat dengan blog. Saya menulis kerana minat dan tidak kisah dengan pendapatan yang saya peroleh melaluinya," katanya.

Kata Ariff lagi, kepuasan sebenarnya dalam blog ariffshah.com adalah apabila dia mendapat maklum balas yang banyak daripada pembaca terutama mengenai tip-tip yang diolah sendiri ataupun melalui kajian.

"Saya gembira apabila pembaca memberi komen mengenai tulisan saya. Tidak kisah sama ada mereka suka atau tidak kerana saya turut mengambil pandangan daripada mereka mengenai topik-topik yang saya ulas," katanya yang turut mengambil peluang berkenalan dengan para blogger di alam nyata.

Tambah Ariff, kebanyakan pembaca setia blognya kini turut menjadi rakan melalui perjumpaan blogger atau secara kebetulan apabila masing-masing tinggal berdekatan.

"Pembaca blog saya rata-rata orang Melayu, termasuk pembaca dari Singapura dan Brunei. Tetapi blogger yang dapat saya kenali dengan lebih rapat adalah dari Malaysia walaupun kebanyakannya adalah pelajar di luar negara seperti saya," katanya.

Malaysia vs Rusia

Selama lima tahun di negara Rusia, Ariff sudah banyak mendalami kehidupan warganya yang nyata jauh berbeza dengan warga Malaysia. Salah satunya adalah mengenai gadis-gadis di kedua-dua negara.

Justeru, Ariff turut memuatkan pandangannya mengenai perbezaan berkenaan di blognya yang mendapat pelbagai reaksi pembaca terutama dalam kalangan pembaca lelaki.

"Saya suka memerhati dan mempelajari kehidupan di Moscow. Dari situ, timbul idea untuk menulis pandangan saya mengenai perbezaan gadis Melayu dan gadis Rusia.

"Saya dapati, gadis Melayu lebih sopan dan lemah lembut dan mempunyai sifat pemalu berbanding gadis Rusia yang unik. Mereka begitu berani dalam berpenampilan, bersifat terbuka dan kurang perasaan malu," luah Ariff.

Dalam pada itu, pemerhatiannya tidak hanya tertumpu kepada kehidupan warga Rusia tetapi juga pengalaman mendiami negara berkenaan termasuk isu politik dan pembangunan Rusia.

"Saya juga melayari blog-blog penulis dari Rusia dan negara lain sebagai kajian serta rujukan sendiri. Walaupun belajar dalam bidang kejuruteraan, ia bukanlah halangan untuk menulis kerana sudah menjadi satu hobi," katanya.

Menang peraduan ManggaAd

Selain itu kongsi Ariff, dia juga banyak membaca akhbar dalam talian dari Malaysia terutamanya Utusan Online bagi mengetahui perkembangan Malaysia ketika di luar negara.

"Saya menyertai Peraduan Rekrut Blogger ManggaAd apabila terbaca mengenainya dalam Utusan Online. Selain itu, saya juga mengambil kesempatan menyertai geng blogger yang mengumpulkan beribu-ribu blogger dari Malaysia," katanya yang baru sahaja memenangi iPod Touch apabila diumumkan pemenang utama peraduan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Adexcel, ManggaAd, Chew Chee Ming memberitahu, ManggaAd adalah rangkaian iklan untuk blogger-blogger di Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu.

"Kami menganjurkan peraduan ini bagi mengumpulkan seramai mungkin blogger dalam ManggaAd atau Mangga Online.

"Blogger yang meletakkan iklan ManggaAd di blognya dan mendapat paling banyak klik untuk mendaftaran baru akan menjadi pemenang peraduan ini," katanya.

Chee Ming memberitahu, pemenang bakal menerima pelbagai hadiah menarik termasuk iPod Touch dan wang tunai.

"Peraduan ini akan terus dijalankan pada masa depan dan diharap dapat menarik lebih ramai blogger untuk menyertainya," katanya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url