Facebook rahsia kemenangan Aquino


Pada zaman ini pengaruh Internet tidak boleh dinafikan lagi. Laman-laman sosial yang kian popular sedikit sebanyak mampu membantu memperbaiki pentadbiran sesebuah kerajaan.

Presiden Filipina yang celik Internet, Benigno Aquino, telah membuka pintu kerajaannya melalui ruang siber kepada seluruh rakyat. Menjanjikan akses awam yang belum pernah terjadi sebelum ini. Ia bertujuan membantu pentadbirannya membendung rasuah yang kian berleluasa di negara itu.

Filipina adalah antara negara yang mempunyai rangkaian pengguna laman web sosial seperti Facebook dan Twitter tertinggi. Aquino turut menjelaskan bahawa beliau mahu melihat komuniti dalam talian yang besar itu untuk menjadi suatu kaedah baru bagi mengusir rasuah.

"Kita tidak boleh memandang rendah kepada potensi dan kuasa media digital ini," kata Jurucakap Presiden, Herminio Coloma yang mengetuai pelancaran laman web (www.president.gov.ph) yang menjadi platform kepada perhubungan dengan laman sosial.

"Ia adalah proses yang boleh tersebar supaya betul-betul dapat menghasilkan dan melipatgandakan kesedaran melaluinya," kata Coloma sambil menyeru rakyat negara itu supaya melayari laman web Aquino dan melaporkan mengenai rasuah.

Mereka juga boleh memberi komen mengenai cara meningkatkan operasi kerajaan.

"Aquino mungkin tidak boleh mengemaskini dan membalas komen-komen daripada Twitter atau Facebook, tetapi kumpulan komunikasi khas akan diwujudkan bagi mengumpul semua komen tersebut," kata Coloma.

Aquino memenangi pilihan raya presiden pada Mei lalu setelah berjanji akan menghapuskan rasuah yang begitu sebati dalam masyarakat Filipina sejak berdekad lalu.

Dengan menggunakan kuasa Internet, beliau mempunyai matlamat sendiri untuk memberikan ruang kepada rakyatnya untuk tampil melaporkan mengenai pegawai yang terlibat rasuah atau golongan penting yang sering terlepas daripada pemantauan.

"Ia akan menghasilkan suatu gelombang penyertaan awam yang besar dalam membentuk sebuah pemerintahan yang baik," kata Coloma.

Jabatan kewangan sedang mengusahakan sebuah laman web (www.perangbayan.com) yang mana setiap orang boleh membuat aduan tanpa didedahkan identitinya mengenai rasuah yang berlaku dalam kerajaan sama ada dalam penipuan cukai dan penyeludupan.

Menurut sumber kerajaan, jaringan web itu turut dihubungkan kepada Facebook dan menerima sebanyak 800 laporan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Sebahagian daripadanya mempunyai asas untuk disiasat.

Terima laporan

Pesuruhjaya Hasil Dalam Negara, Kim Henares memberitahu AFP bahawa pejabatnya menerima laporan mengenai lebih 20 tip sehari daripada orang yang ingin mengelakkan cukai melalui laman Facebooknya, sama seperti mereka yang menghubungi melalui telefon.

"Kamu boleh lihat ramai orang sedang menonjolkan diri. Di Facebook orang ramai sedang menambah saya sebagai rakan dan menghantar komentar mereka," kata Aquino.

"Rakyat berasa mereka mempunyai kedudukan dalam kerajaan," kata seorang penganalisis web yang mengoperasikan CheckFacebook.com, Nick Gonzalez yang turut menyenaraikan Filipina sebagai berada dalam kedudukan ketujuh terbesar pasaran laman sosial dunia iaitu menjangkaui 16 juta pengguna.

Ia bermaksud Filipina hampir mencapai populasi kelima yang menggunakan Facebook.

Kempen Aquino itu telah mendapat sambutan hebat apabila menerima sebanyak 16,000 hit dalam tempoh dua jam selepas laman web tersebut dilancarkan.

Pengarah Persatuan Penganilisis Keselamatan Filipina, Asro del Castillo juga turut menyambut baik usaha memperkenalkan laman web kerajaan itu.

Tetapi ujar beliau, kaedah itu masih lagi awal untuk diperkatakan sama ada mampu melawan rasuah.

"Kami harap cara ini dapat menangkap penjenayah dan 'budak-budak nakal' tersebut dalam kerajaan kita.

"Tetapi kita tidak boleh mengetahui tahap keberkesanan cara ini sehinggalah kita menerima tindak balas daripada mereka," kata del Castillo.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url