Sel Setem - Menyimpan tali pusat untuk kecemasan


Tiga tahun lalu, doktor mengesahkan Philip Meehan, 42, dari West Sussex, Selatan England menghidap penyakit leukemia dan memerlukan pembedahan pemindahan sumsum tulang dengan segera.

Oleh kerana Meehan merupakan anak tunggal, dia tidak mempunyai kesesuaian darah di kalangan ahli keluarga untuk membantunya. Pada masa yang sama, dia mengambil inisiatif mencari penderma melalui Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan Anthony Nolan Trust selama enam bulan. Namun, usaha itu gagal.

"Keadaan menjadi kelam-kabut kerana saya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang. Dalam kebingungan itulah, pihak hospital memberitahu saya mengenai satu perkara baru iaitu rawatan daripada darah tali pusat," katanya.

Kebetulan satu tali pusat ditemui dan ia sepadan dengan darah Meehan, walaupun harapannya tipis tetapi itu adalah satu-satunya penyelesaian buat kelangsungan hayat Meehan.

"Saya begitu bertuah dan bersyukur kerana seorang ibu dan bayi yang tidak dikenali telah menyelamatkan nyawa saya. Setiap hari saya akan memikirkan tentangnya (bayi) yang telah mendermakan sel stemnya.

"Oleh kerana program amanah tersebut merahsiakan maklumat penderma, saya tidak dapat mengetahui siapa mereka sampai bila-bila.

"Namun, saya bersyukur dan berharap mereka dikurniakan kesihatan yang baik pada masa depan seperti mana mereka memberikan 'kehidupan' baru buat saya," katanya yang bekerja sebagai jurutera bunyi.

Tambah Meehan, walaupun tidak 100 peratus pulih tetapi keadaan kesihatannya lebih baik berbanding dahulu.

"Saya masih rasa letih tetapi kekuatan saya kian kembali dan akan kembali seperti normal. Tidak sesihat dahulu tetapi ia hampir normal," katanya.

Itu adalah salah satu cerita kejayaan rawatan menggunakan sel stem yang kian mendapat sambutan. Ia bukan sahaja digunakan untuk merawat penyakit yang kritikal seperti leukemia malah, mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, penyakit hati dan osteoartritis.

Pengasas Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar memberitahu, sel stem merupakan sel utama yang terdapat di dalam badan manusia. Ia boleh berganda daripada satu sel kepada dua, dua kepada empat, empat kepada lapan dan berikutnya.

Selain itu, ia juga boleh berubah menjadi jenis sel dan tisu yang lain. Terdapat dua jenis sel stem manusia iaitu sel stem Hematopoietik (HSCs) dan Mesenkima (MSCs).

"Sel stem HSCs hanya boleh berubah menjadi komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih dan platlet manakala sel stem MSCs pula boleh berubah menjadi sel-sel dan tisu-tisu seperti otak, jantung, tulang, saraf dan rawan.

"Sel stem ini boleh datang daripada beberapa sumber seperti tali pusat (MSCs) dan darah tali pusat (HSCs) untuk bayi. Bagi orang dewasa pula sel stem boleh diambil daripada tisu adipos (MSCs), tulang sumsum (MSCs) dan darah periferi (HSCs)," katanya.

Malah, menurut standard antarabangsa, sel stem boleh terus hidup bagi tempoh masa yang tidak terbatas selagi ia disimpan pada suhu -190 darjah Celsius.

Baik pulih tisu

Nor Ashikin memberitahu, bidang perubatan kini memberikan fokus menggunakan sel stem untuk membaiki kerosakan tisu dan organ kerana ia dapat membantu bayi jika diserang penyakit atau kecederaan.

"Para doktor percaya bahawa sel stem mampu untuk memulih dan membaiki kerosakan yang berlaku. Bidang perubatan yang semakin berkembang kini terarah pada rawatan yang melibatkan kecederaan otak dan diabetes juvenil," ujarnya.

Dalam pada itu, sel stem juga dikatakan mampu merawat penyakit seperti sklerosis lateral amiotrofi (ALS), kecacatan jantung sejak lahir, kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak, hilang pendengaran, penyakit hati, strok, palsi serebrum, penyakit jantung serta kecederaan ortopedik.

Selama ini kita disogok dengan maklumat bahawa sel stem hanya boleh didapati daripada tali pusat bayi namun, ia juga boleh didapati pada orang dewasa tetapi apabila peningkatan usia berlaku potensi sel stem tersebut merosot. Ini menunjukkan sel stem yang muda lebih baik.

Disebabkan orang dewasa tidak berpeluang menyimpan sel stem mereka, syarikat seperti CryoCord menyediakan perkhidmatan penyimpanan AdiMSCs, MarrowMSCs dan PBSCs kepada golongan dewasa.

"Walau bagaimanapun, sel stem tidak mampu menyembuhkan segala penyakit sebagaimana para penyelidik percaya bahawa rawatan sel stem mempunyai potensi bagi mengubah rawatan ke atas penyakit manusia.

"Terdapat beberapa rawatan sel stem melibatkan golongan dewasa sudah wujud, terutama sekali melibatkan pemindahan sumsum tulang yang digunakan untuk merawat leukemia," katanya.

Tambahnya, penyelidik perubatan juga menjangkakan dapat menggunakan teknologi daripada penyelidikan sel stem untuk merawat pelbagai jenis penyakit secara meluas termasuk kanser, penyakit parkinson, kecederaan saraf tunjang, sklerosis lateral amiotrofik (kemerosotan otot), sklerosis berbilang, kecederaan otot dan beberapa ketidaksempurnaan yang lain.

"Rawatan menggunakan sel stem untuk menyelamatkan nyawa sudah pun dipraktikkan sejak beberapa dekad yang lalu termasuk rawatan bagi pesakit leukemia, kanser dan gangguan darah," ujarnya.

Tidak menyakitkan

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jualan CryoCord Sdn. Bhd., Pan Yok Suan memberitahu, prosedur pengambilan sel stem tidak menyakitkan kerana ia berlaku di luar tubuh dan pakar sakit puan hanya melakukan kutipan selepas si ibu melahirkan bayi.

"Ibu tidak akan rasa apa-apa kesakitan, begitu juga dengan bayi kerana tali pusat bayi hanya terdiri daripada vena dan arteri bukannya saraf.

"Berhubung dengan prosedur pungutan darah tali pusat, doktor akan mengambil darah tali pusat dan disimpan di dalam beg khas sejurus selepas kelahiran bayi. Doktor akan memotong tali pusat selepas plasenta keluar," katanya sambil memberitahu kutipan tersebut kemudian akan dihantar ke makmal di Cyberjaya, Selangor untuk diproses.

Berdasarkan Protokol Pembekuan Darah Tali Pusat New York, sel stem boleh disimpan sepanjang hayat di bawah suhu - 150 darjah Celsius.

CryoCord akan menyimpan sel stem di dalam cecair nitrogen yang mana suhunya -190 darjah Celsius. Selain itu, CryoCord akan membayar ganti rugi jika semua sel stem yang disimpan rosak apabila pengambilan sel stem untuk pemindahan.

Dalam pada itu, Yok Suan memberitahu kesedaran masyarakat kini mengenai penyimpanan sel stem sangat baik dan memberangsangkan, namun ia masih memerlukan sokongan daripada kerajaan seperti di negara-negara lain yang menggalakkan rakyatnya menyimpan sel stem.

"Menjadi organisasi perintis menyediakan kemudahan sel stem cryopreservation di Malaysia, CryoCord membina asas yang kukuh dengan membina pejabat dan makmal yang terletak di Lembah Klang.

"Dengan rangkaian yang luas di seluruh negara, kami mempunyai pejabat di di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kuching di mana perunding kami akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menyampaikan maklumat kepada semua pelanggan yang berada di luar Lembah Klang.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url