Hyundai model i10 - Penampilan lebih moden


Rasanya sudah lama benar Perodua menguasai segmen kereta kompak berkapasiti enjin 1.3 liter ke bawah dalam pasaran Malaysia.

Bermula dengan model Kancil, entiti yang berpeluang memasang dan memasarkan produk ‘kalis rosak’ daripada Daihatsu itu dilihat terus sukses. Rangkaian model seperti Kelisa dan kini Viva nampaknya meneruskan kesinambungan populariti Kancil.

Dalam tempoh itu juga timbul beberapa jenama yang cuba mahu bersaing. Benar, volum jualan yang mereka catatkan tidaklah sebanyak Perodua. Namun ia tetap dinanti oleh segelintir yang lebih gemar menjadi kelompok minoriti.

Naza misalnya, pernah mempertaruhkan model buatan China yang diberi nama tempatan, Sutera (kini dikenali sebagai Forza). Selain memperkenalkan model Picanto atau Naza Suria menerusi kerjasamanya dengan gergasi automotif dari Korea Selatan, Kia.

Proton memperkenalkan Savvy yang menggunakan enjin daripada Renault bersama transmisi jenis Automated Manual Transmission (AMT) atau manual lima kelajuan.

Hyundai pula mencuba nasib menerusi model Atos yang kemudiannya dipasang secara tempatan oleh pihak Inokom. Pada tahun 2008, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. menggantikan Atos dengan model i10 yang lebih moden dari segi teknikal dan penampilannya.

Masih ramai yang tidak tahu bahawa i10 menawarkan ciri pemanduan lebih memuaskan berbanding pesaing-pesaingnya. Mengapa? Selepas terlibat dalam sesi pandu uji i10 versi terbaru ke Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini, jentera yang cukup popular di pasaran India dengan jualan mencecah 12,000 unit sebulan itu nyata berbeza.

Terutama jika anda cukup sensitif dengan keadaan sesebuah kereta bertindak ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Pendek kata, olengan tubuh dan rasa membuang i10 adalah minimum.

Ketika berada di lebuh raya, anda juga boleh mengharapkan perjalanan yang selesa. Terima kasih kepada setting suspensi hadapan jenis topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam pada baki rodanya yang sedikit keras.

Perbezaan utama model ini dengan i10 yang sudah dua tahun berada di pasaran ialah pada enjinnya. Buat pertama kali dalam kelasnya, i10 menggunakan enjin bersesaran 1.25 liter. Di atas kertas, enjin tersebut berupaya mengekstrak kuasa sehingga 57.4 kW @ 6,000 rpm dan tork maksimumnya mencecah 118.6 ketika enjin berputar sekitar 4,000 rpm.

Untuk kelas sebegini, enjin Kappa serba baru itu masih boleh dianggap memuaskan. Tidaklah terlalu berkuasa. Tetapi pada masa yang sama tidak membuatkan anda tertekan mendengar enjin kecil itu diperah untuk mendapatkan momentumnya.

Kolaborasi enjin dengan transmisi automatik empat kelajuan, i10 1.25 juga lancar. Tuil gearnya dilengkapi dengan butang Overdrive (OD), jika mahukan lebih kuasa ketika memotong kenderaan atau menaiki bukit.

Penggunaan minyak? Jangan bimbang. Biarpun sesaran enjinnya sedikit tinggi, namun ia tetap menawarkan tahap pengunaan bahan api yang hampir sama dengan enjin 1.1 liter tetapi dengan pertambahan sedikit kuasa.

Stereng kuasa elektrik

Ia banyak dibantu oleh beberapa ciri termasuklah penggunaan stereng kuasa elektrik atau Motor Driven Power Steering (MDPS).

Kabin i10 1.25 menawarkan ruang yang selesa untuk dihuni. Tahap NVH masih boleh dikira bagus jika dibandingkan dengan kenderaan sekelasnya. Material pada setiap inci kabinnya juga seolah-olah memberi petanda bahawa ia dapat bertahan untuk tempoh yang lama tanpa sebarang masalah.

Saya sukakan rekaan papan pemuka yang kemas. Ia menempatkan sistem audio binaan dalam yang senang dioperasi. Bagi memberikan ruang dan rasa lebih luas, tuil gearnya diletakkan pada bahagian bawah konsol tengah dan bukannya di atas lantai.

Seperti biasa, model ini menggunakan emblem Inokom pada bahagian luarnya bagi membolehkan harganya menjadi lebih rendah berikutan cukainya telah dikurangkan.

Sejak dilancarkan pada Jun lalu, lebih 50 unit i10 1.25 telah dijual. Jika anda mahu mendapatkannya, tempoh menunggu dianggarkan sekitar dua hingga tiga bulan.

Model tersebut hadir dalam dua varian iaitu standard dan spesifikasi lebih tinggi. Bezanya cuma beg udara berkembar dan aplikasi sistem brek anti kunci (ABS).

Dijual pada harga RM49,688 (standard) dan RM52,688 di atas jalan, i10 berenjin Kappa ini tidak akan menggantikan model i10 sedia ada di pasaran.

Bagi memberikan ketenangan para pemiliknya, i10 1.25 hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000 kilometer. Hanya ada tiga warna untuk dipilih iaitu putih, perak dan biru.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url