Kontrak jual beli ikut syarat, rukun elak pertikaian

Oleh Mohamad A'sim Ismail

Kejayaan pihak polis membuat serbuan di Selangor dan menahan individu terbabit dengan skim cepat kaya yang menjadikan kereta mewah sebagai pulangan setiap bulan untuk menarik peserta seperti dilaporkan media sewajarnya menyedarkan masyarakat.

Sebenarnya skim cepat kaya bukan sesuatu yang baru kepada masyarakat seperti skim piramid Pak Man Telo yang menjanjikan pulangan 10 hingga 20 peratus keuntungan setiap bulan kepada pelabur, skim Magnacasa mengutip RM2,000 daripada peserta untuk pakej percutian sekitar 80-an.

Skim Century Diamonds pada 1988 yang menjadikan barangan kemas sebagai umpan memberikan komisyen sehingga 10 hingga 45 peratus kepada peserta dan pelbagai lagi skim seumpama itu ditawarkan dengan bertopengkan jualan barangan tertentu.

Apa pun, selagi skim ini diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab maka selagi itulah ada individu dalam masyarakat akan menyertainya kerana dorongan inginkan harta secara mendadak atau disebabkan kejahilan kontrak jual beli berlandaskan tuntutan syariah.

Ciri skim cepat kaya seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), ia lebih kepada promosi untuk mencari ahli baru tanpa menitikberatkan aspek penjualan barang.

Pendapatan diperoleh melalui pertambahan ahli berbanding jualan barangan, kontrak bertulis tidak wujud, pembelian secara paksaan dalam jumlah besar dikenakan untuk melayakkan menerima bonus dan peserta tidak mempunyai pilihan membuat pembelian pakej.
Tiada terma bayar balik barang yang sudah dibeli, syarat ketat untuk mendapat pulangan bonus, pengunduran diri daripada transaksi tidak dibenarkan, digalakkan membeli pakej lebih besar dengan janji pulangan lumayan.

Jika diteliti terma yang terdapat dalam skim cepat kaya, ia kabur dan banyak yang tidak memenuhi piawaian kontrak muamalah jual beli dituntut syariah. Dalam berjual beli, perkara yang perlu seorang Muslim lihat ialah kontrak atau akad.

Kontrak pada dasarnya mengandungi butiran muamalah jual beli membabitkan kepentingan kedua-dua pihak yang membuat kontrak iaitu pembeli, penjual dan juga status objek atau barangan.

Apabila kontrak yang sahih difahami, status jual beli atau transaksi itu akan menjadi telus dan mempunyai matlamat jelas serta dapat memberikan penyelesaian jika pertikaian berlaku di belakang hari. Inilah perkara yang biasanya dipandang enteng oleh masyarakat.

Kontrak atau akad ialah persetujuan kedua-dua pihak yang berkontrak sehingga mereka terikat di bawah tuntutan undang-undang. Kontrak adalah ikatan hasil tawaran (ijab) daripada penawar dan penerimaan tawaran oleh penerima (qabul) membabitkan sesuatu objek.

Kontrak atau akad mengikut syariah menjadi sah apabila menepati syarat dan rukun untuk membentuk sesuatu akad berkaitan, sebaliknya kontrak atau akad menjadi batal apabila tidak mematuhi syarat dan rukunnya.

Antara syarat sah sesuatu kontrak mengikut syariah ialah perlu ada kerelaan dan suka sama suka kedua-dua pihak berkontrak.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 29)

Oleh itu, tidak boleh ada paksaan, tekanan dan penipuan sementara barangan dalam kontrak perlu daripada sesuatu yang jelas, boleh diserah dan diterima, tidak ada syubhah, gharar kepada kedua-dua pihak yang berkontrak.

Kedua-dua pihak juga perlu bersikap adil serta jujur ketika memeterai kandungan dan tuntutan kontrak. Tempoh bertenang (khiar) untuk memulangkan barangan atau meminda kontrak dalam tempoh tertentu yang termaktub dalam kontrak perlu dipenuhi kedua-dua pihak.

Kontrak perjanjian perlu dilakukan secara bertulis dengan kehadiran saksi yang bersikap benar atas persaksian dilakukan. Penyediaan kontrak perlu ada kebebasan tanpa mengetepikan batasan syariah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Muslim terikat kepada perjanjian mereka, kecuali perjanjian mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ini termasuk memenuhi syarat tambahan yang dibuat secara bebas dan rela ketika melakukan akad kontrak seperti syarat pembayaran harga pada waktu anjal, syarat barang atau objek perlu memenuhi piawaian tertentu.

Dalam hadis riwayat imam Bukhari, Jabir menjual untanya kepada Rasulullah SAW dengan memasukkan dalam perjanjian kontrak jual beli syarat supaya beliau dapat memanfaatkan unta yang sudah dijualnya kepada Rasulullah SAW untuk pulang ke Madinah.

Sebagai umat Islam, tidak dapat tidak kita perlu meletakkan tuntutan syariah sebagai garis panduan utama sebelum melakukan jual beli. Apabila jual beli dilakukan tanpa ikatan kontrak yang jelas, sudah tentu ia bercanggah kehendak syariah dan menjadi kontrak yang batil.

Bukan suatu yang pelik apabila mereka terbabit dalam kontrak batil akan menerima pelbagai kesan negatif kerana kontrak batil sudah tentu tidak melindungi hak orang yang berkontrak.

Jadi, skim cepat kaya lebih layak dikenali sebagai skim ‘cepat miskin’ kerana kontrak yang kabur akhirnya membawa kepada kerugian kepada orang yang terbabit dalam skim itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url