Pelanggan Tune Talk kini lebih sejuta orang
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, tempoh setahun menceburi perniagaan berkenaan, memberikan banyak pengajaran kepada pihak pengurusan.
''Kami telah meletakkan Tune Talk menjadi salah satu pemain utama dalam pasaran dan jenama kami kini telah diketahui di Malaysia.
''Dengan 1.2 pelanggan setakat ini, kami berharap dapat melakukan lebih lagi pada masa hadapan,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Bagi mengukuhkan pasaran, Tune Talk akan melancarkan rangka promosi baru dengan pasukan bergerak ke seluruh Malaysia yang mempromosi perkhidmatan Tune Talk dengan menawarkan hadiah, kegembiraan dan permainan.
Tambah Lo, Tune Talk telah berkembang semakin kukuh dan pasukan bergerak akan pergi ke setiap kawasan di Malaysia menceritakan mengenai Tune Talk.
''Mereka akan mengagihkan hadiah menarik seperti baucar penerbangan, set telefon bimbit dan sebagainya. Dengan cara itu, bukan sahaja kami mempromosi jenama tetapi lebih rapat dengan masyarakat,'' katanya.
Bagi meraikan ulang tahun pertamanya, Tune Talk akan memberikan pelanggan mereka panggilan percuma antara rangkaian Tune Talk untuk 24 jam serta 10 peratus bonus bagi tambah nilai sebanyak RM10 dan keatas pada 19 Ogos ini.
Sementara itu, tempoh sah bagi tambah nilai RM50 telah dinaikkan kepada 75 hari berbanding 55 hari sebelum ini.
''Tune Talk telah menawarkan kadar panggilan prabayar terendah di dalam negara pada kadar 16 sen seminit, melalui rangkaian liputan luas melalui Celcom.
''Ia adalah kekuatan kami dan lebih ramai rakyat Malaysia menyedarinya serta menikmati pakej mudah ini. Pelanggan baru turut merasai perbezaan dengan penjimatan dalam perbelanjaan telefon mereka,'' tambahnya.
Tune Talk merupakan penyedia perkhidmatan telefon mudah alih yang memberikan pelanggannya perlindungan insurans kemalangan bernilai RM100,000.
Sim permulaan Tune Talk berharga RM5 dan dengan tambah nilai RM4. Ia kini turut didapati di dalam penerbangan antarabangsa AirAsia pada harga RM9 satu pek.
- UTUSAN