Rebut ibadat malam Lailatul Qadar

RASULULLAH SAW bersabda: “(Iaitu) ada pada bulan Ramadan. Kerana itu hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, serta pada malam terakhirnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Malam Lailatul Qadar adalah malam di mana Allah SWT menurunkan firmannya ke langit dunia menerusi al-Quran.

Al-Quran diturunkan sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum ia diturunkan kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun sebagai pegangan dan petunjuk kepada manusia.

Hal ini berbeza pengertiannya dengan malam Nuzul Quran berikutan ia adalah saat pertama al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW di gua Hira’ yang terjadi pada 17 Ramadan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya kami menurunkannya pada malam kemuliaan dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunnya malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadar, 1-5) Walaupun diturunkan ayat ini, namun Allah SWT tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan Lailatul Qadar.

Cuma yang diterangkan adalah nilai keutamaannya yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu, apabila tibanya malam Lailatul Qadar, ibadatnya lebih baik daripada seribu bulan yang tidak mempunyai satu malam Lailatul Qadar di dalamnya.

Namun Allah SWT berfirman: “Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya kami menurunkannya pada satu malam yang diberkati, dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Iaitu urusan yang besar di sisi kami, sesungguhnya kami yang mengutuskan rasul-rasul.” (al-Dukhan: 2-5) Sebagai umat Islam, kita dituntut memperbanyakkan amal ibadat seperti membaca al-Quran, berdoa, mengucapkan wirid, berzikir atau mengadakan kuliah agama.

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa pada malam berkenaan, malaikat turun dan berjalan kepada seluruh individu yang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka.

Maka, dengan rahmat dan keredaan Allah SWT, diampunkan dosa hamba-Nya kecuali kepada empat golongan manusia iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus silaturahim dan individu yang bermusuhan.

Bagaimanapun, dalam kesibukan kita mencari Lailatul Qadar, jangan pula kita lupakan hari lain dalam Ramadan kerana keseluruhan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa dan hanya diberi kepada umat Rasulullah SAW dan tidak kepada umat terdahulu sebelumnya.

- METRO AHAD
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url