Borak Pak Nil - Cuma mahu berhibur

Oleh Aznil Nawawi

ASSALAMUALAIKUM!

Sana-sini kita lihat masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patriotik kita menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-53 tahun. Ada yang mengusung bendera di kenderaan dan ada juga yang mengibarkannya di bangunan.
Dalam kesungguhan mengerjakan ibadah puasa, suasana menyambut 31 Ogos tidak kurang meriahnya. Sememangnya sejak dari selepas merdeka lagi, negara kita tidak pernah gagal untuk mengadakan majlis meraikan hari kemerdekaan dengan pelbagai acara.

Masih ingat lagi, ketika menjelang tarikh 31 Ogos ketika Paknil kanak-kanak di mana selalunya akan dibawa oleh bapa saudara keliling bandar Kuala Lumpur. Ketika itu Kuala Lumpur bagaikan kota lampu. Setiap bangunan pencakar langit seolah berlumba untuk menyalakan bangunan mereka dengan hiasan lampu yang pelbagai. Ketika itu, bangunan Sultan Abdul Samad pasti menjadi tarikan utama kerana hiasan lampunya pasti memukau mata memandang.

Bangunan lain juga tidak kurang hebatnya kerana selain mempelbagaikan hiasan Jalur Gemilang, ada juga yang berhabis-habisan sehingga mewujudkan taman bercahaya di perkarangan bangunan masing-masing.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga memainkan peranan penting dalam menghias jalan raya sekitar bandaraya dengan gemerlapan lampu. Hampir setiap jalan utama di Kuala Lumpur tidak dilepas pandang. Paknil dan adik beradik ternganga kagum melihat keindahan Kuala Lumpur pada waktu malam. Lebih menyemarakkan lagi suasana adalah pertandingan pintu gerbang di sekitar jalan utama Kuala Lumpur. Selalunya akan ada badan-badan korporat dan berkanun yang mengambil bahagian untuk membina pintu gerbang yang dihiasi lampu berwarna-warni. Antara yang terbabit ketika itu adalah LLN (kini TNB), Bank Bumiputra, Malayan Banking, MISC Bhd dan Sistem Penerbangan Malaysia.

Mereka bersaing untuk memberikan reka bentuk yang istimewa. Selalunya keputusan untuk pintu gerbang terbaik itu akan diumumkan pada Hari Kebangsaan.

Penyertaan pihak swasta, badan berkanun serta kerajaan ini sebenarnya tidak berakhir di situ. Mereka turut terbabit untuk perayaan kemuncak upacara perarakan raksasa yang bermula dari Stadium Merdeka sehinggalah ke bangunan Sultan Abdul Samad. Berminggu sebelum acara kemuncak itu berlangsung, latihan demi latihan dijalankan agar dapat mempersembahkan perbarisan terbaik.

Selalunya syarikat korporat yang menyertainya akan mereka cipta pakaian rasmi syarikat yang berwarna-warni untuk pasukan masing-masing. Sekali lagi ada pertandingan yang dianjurkan di kalangan mereka seperti kawad terbaik, pakaian terbaik, puteri sepanduk dan sebagainya.

Jika tidak berkesempatan untuk menyaksikan di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Paknil sekeluarga akan menontonnya pada kaca TV awal pagi. Sebelum sarapan, ayah Paknil akan membangunkan anak-anaknya untuk menonton acara perarakan. Ketika ini juga, Unit Artileri Angkatan Tentera Malaysia akan memperagakan kelengkapan senjata mereka kepada orang awam yang mana antaranya kereta perisai. Itu antara daya tarikan bagi keluarga untuk membawa keluarga mereka menonton acara Hari Kebangsaan ini secara langsung di sana. Lebih menyeronokkan bila ada pertunjukan udara juga dilakukan oleh angkatan tentera udara Malaysia. Ada yang terpegun dengan lintas udara yang dipersembahkan sambil mereka menunjukkan kehebatan jet pejuang mengeluarkan asap berwarna-warni di udara. Begitu juga dengan persembahan helikopter yang membawa Jalur Gemilang megah di udara. Seronok bila Paknil mengenang acara yang diatur untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita.

Nak Paknil sambung? Tidak cukup dengan sambutan pada siang hari, kami warga Kuala Lumpur akan dihidangkan pula dengan perarakan kereta berhias pada waktu malam. Seawal jam enam petang kami adik-beradik sudah diangkut oleh abang ipar dan kakak sulung ke bangunan Umno lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kebetulan kakak Paknil bekerja di situ, maka kami mendapat tempat menonton ‘VIP’ iaitu menonton dari tingkap pejabat bangunan itu sedangkan orang lain berpusu-pusu mencari tempat di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Hebat betul persembahan kereta berhias kerana kereta yang mengambil bahagian ada pelbagai jenis. Ada syarikat korporat yang mengambil bahagian di samping badan kerajaan dan juga kerajaan negeri. Sekali lagi kereta berhias ini akan diadili untuk menentukan pemenangnya dan tidak hairanlah jika mereka yang menyertainya sanggup berbelanja besar. Akhirnya, orang awam juga yang untung kerana dapat menonton secara percuma.

- METRO AHAD
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url