Roh pun sayangkan stesen Tanjong Pagar
Pagi itu, Shamsul Bahri bergerak perlahan ke platform pelepasan tren. Dua bendera merah dan hijau yang ada di dalam genggaman tangan kanannya dipegang elok-elok. Siap mengambil posisi tepat di atas platform berdekatan hujung tren, sejurus wisel ditiup, bendera merah dan hijau diangkat bersilih ganti. Gerabak kereta api yang dilepaskan seawal pukul 4.30 pagi itu bergerak perlahan-lahan dan lenyap daripada pandangan.
Tiba-tiba, hati Pengurus Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar di Singapura itu sayu. Sayu bukan kerana melihat kereta api itu yang akan menuju ke Tumpat, Kelantan.
Sebaliknya rasa sayu Shamsul, 43, bertempat. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, pada tahun hadapan, dia tidak mungkin lagi berdiri di platform tersebut dan melakukan rutin serupa. Perkhidmatan di Stesen Tanjong Pagar bakal berakhir apabila operasinya dipindahkan ke Terminal Pemeriksaan Keretapi Woodlands (WTCP) mulai 1 Julai 2011.
Persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Singapura itu sekali gus menandakan berakhirnya sisa-sisa peninggalan warisan Tanah Melayu di Singapura. Dibina pada tahun 1932, ia dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Stesen Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road itu telah menjadi periuk nasi buat bapa kepada empat orang anak itu sejak 15 tahun lalu.
Di stesen berusia hampir lapan dekad itu, satu ikatan persahabatan termeterai. Shamsul menyifatkannya lebih daripada sebuah stesen kereta api biasa, malah ia menjadi rumah kedua dan sebahagian daripada kehidupannya.
Jika dikira, hampir separuh daripada tempoh kerjayanya dihabiskan di stesen yang terletak di tengah-tengah hab pelabuhan Kota Singa itu. Lebih tepat, Stesen Tanjong Pagar merupakan tonggak pengorbanannya selama ini. Di sini, tersimpan banyak kenangan dan nilai sentimental buat Shamsul.
“Seingat saya, ketika mula-mula berpindah, saya sangat teruja. Saya berpeluang tengok negara orang. Tetapi ini bermakna saya dan isteri serta anak-anak terpaksa berjauhan. Mereka di Gemas, Negeri Sembilan,” ceritanya kepada Kosmo! sambil memberitahu anak sulungnya sempat menghabiskan pengajian sehingga darjah tiga di Singapura sebelum berhijrah ke Gemas.
Jika tugas memerlukannya bekerja pada awal pagi, ruang kecil yang terletak di belakang pejabat dan kelihatan seperti stor itu menjadi lokasi dia melelapkan mata.
Sambil melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi empuk berwarna hitam, lelaki yang memulakan kerjaya dalam bidang kereta api sebagai pemotong tiket sejak tahun 1986 itu menyambung cerita.
Peralatan antik
Tidak perlu lagi mengawal operasi samboyan tren, ada tugasan lebih signifikan yang diamanahkan kepadanya. Wisel dan dua bendera itu adalah simbolik kredibiliti seorang ketua stesen untuk menerima ketibaan serta melepaskan tren setiap hari.
“Dulu, kita tidak pakai wisel untuk melepaskan tren, tetapi menggunakan loceng tembaga ini. Setiap kali dibunyikan, penumpang akan berlari pantas mencari-cari pintu tren kerana takut ketinggalan,” katanya sambil ketawa besar.
Loceng seberat tiga kilogram (kg) itu merupakan antara peralatan peninggalan British yang masih kekal di Stesen Tanjong Pagar. Sepasang lampu gerabak akhir atau tail lamp berwarna hitam juga masih dijaga dengan baik. Lampu itu berfungsi sebagai petunjuk kepada ketua stesen bahawa gerabak tersebut adalah yang terakhir.
Tumpuan jurufoto
Mempelawa penulis dan jurugambar Kosmo!, Nooradzrene Mohd. Noor ke platform ketibaan, Shamsul menyatakan menjadi kerugian buat kami andai tidak melihat sendiri cara pergerakan kereta api dialihkan dari satu landasan ke landasan yang lain menggunakan kaedah lama. Alat itu ialah tiga tuas buatan zaman British yang terletak di landasan pelepasan, ketibaan dan Platform Tiga. Tiada sistem motor atau hidraulik, tuas yang berusia sekitar seabad itu diperbuat daripada besi padu dan dikendalikan secara mekanikal.
Ada satu lagi peralatan yang perlu anda tahu. Sistem blok mutlak (key token system) yang diperkenalkan di Britain pada abad ke-19 turut memiliki nilai sentimental bagi Shamsul.
“Semasa bertugas di Stesen Paloh, saya agak takut pada mulanya kerana dalam keadaan kereta api yang bergerak laju, saya perlu menyerahkan token kepada pemandu. Token ialah kuasa untuk pemandu kereta api bagi meneruskan perjalanan ke stesen seterusnya,” tambahnya.
Tiga hari berada di stesen tersebut, satu pemandangan yang tidak lekang di mata penulis adalah kelibat ramai jurugambar amatur dan profesional dari dalam dan luar Singapura. Semuanya mahu merakam gambar-gambar terbaik di stesen klasik itu.
Sejak penutupan Stesen Tanjong Pagar disahkan baru-baru ini, hampir setiap hari stesen tersebut dibanjiri oleh jurugambar. Begitu asyik memetik butang kamera, ramai juga yang tidak sedar telah melepasi kawasan larangan mengambil foto.
Mural-mural berwarna-warni ala motif batik pada kedua-dua blok dinding tinggi di ruang menunggu itu merupakan lambang senario kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu ketika stesen itu dibina. Setiap lukisan mural memaparkan aktiviti sosioekonomi masyarakat seperti menanam padi, kegiatan memunggah di pelabuhan, menoreh getah dan melombong. Malah, cucu pelukis mural itu pernah sampai ke Tanjong Pagar semata-mata untuk melihat lukisan mural datuknya.
“Hanya generasi lama macam saya yang tahu tentang titik permulaan tempat ini. Sayang rasanya bila ia ditutup kelak. Harap-harap bangunan penuh nostalgia ini tidak akan dirobohkan,” kata Yu-Nam, 60, kepada Kosmo!.
Sebagai terminal kereta api pertama di Singapura, pembinaan Stesen Tanjong Pagar sebenarnya bertujuan untuk menggantikan stesen kereta api utama di Tank Road yang dibina pada tahun 1903.
Jurugambar amatur dari Kota Singa itu menyifatkan struktur seni bina bangunan yang dipengaruhi oleh arkitek Stesen Helsinki di Finland, Eliel Saarinen itu subjek terbaik untuk diabadikan dalam seni fotografi. Malah, bapa kepada dua orang anak itu juga berharap generasi akan datang masih berpeluang melihat stesen itu walaupun sekadar membacanya daripada buku sejarah.
Malah, dekorasi luar stesen yang memaparkan empat buah patung batu marmar putih rekaan Rudolfo Nolli itu juga memiliki nilai tersendiri.
Perdagangan, agrikultur, industri dan pelabuhan adalah empat bidang kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu yang dilambangkan menerusi empat patung manusia tersebut.
Pendapatan tiket
Sivasangkar Munusamy, 35, dari Pulau Pinang turut berasa sedih dengan keputusan pengalihan operasi stesen tersebut.
Pengurus kanan salah sebuah restoran yang kini menetap di Singapura mengakui, dia sering memberitahu isterinya tentang memori membesar dengan kereta api Tanjong Pagar.
Sementara itu, menurut pengamatan Shamsul, pengangkutan kereta api KTMB itu sangat popular di kalangan orang Singapura dan pelancong asing. Ketiadaan persaingan bas pada awal tahun 2000 membuatkan penumpang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket.
“Malah, pada tahun 1980-an, pendapatan kutipan tiket pernah mencecah sehingga S$40,000 (RM93,346) sehari. Jadi, bayangkan betapa banyak yang diraih dalam sebulan.
“Waktu itu, kita guna kipas pusing, tingkap terbuka dan anak-anak kecil juga dibuai di dalam kereta api. Sesekali penumpang keluarkan kepala dari tingkap, hitam muka mereka terkena asap kereta api,” terangnya sambil memberitahu pelancong asing banyak memuji signifikan perkhidmatan kereta api dari Singapura ke Malaysia pada ketika itu.
Purata bilangan kemasukan penumpang ke Malaysia termasuk warga tempatan yang bekerja di Singapura adalah sekitar 350 penumpang sehari pada hari-hari biasa. Ia dianggap sebagai satu pencapaian yang baik tanpa sebarang promosi pemasaran.
Pelancong asing terutama yang berasal dari India lazimnya mendominasi populasi penumpang. Jumlah bilangan bagasi yang banyak dan berkunci pula menjadikan kereta api KTMB di Tanjong Pagar sebagai pengangkutan utama mereka seperti di kampung halaman sendiri.
Sekitar tahun 1980-an, tingkat dua dan tiga di bangunan stesen yang juga terkenal dengan nama Stesen Keretapi Keppel Road itu pernah menempatkan bilik-bilik hotel dan bar. Dikendalikan oleh seorang tauke Cina, hotel 100 bilik itu dilengkapi pelbagai keperluan asas termasuk kipas angin, tab mandi dan pintu kayu berkualiti tinggi. Sama seperti bangunan-bangunan klasik yang lain, Stesen Tanjong Pagar banyak menyimpan cerita-cerita misteri.
“Ramai yang sangat sayang Stesen Tanjong Pagar. Malah, roh-roh askar zaman British pun masih berkeliaran di sini,” tambah Shamsul.
- KOSMO!