Wakaf al-Quran melalui SMS
Perdana Menteri berkata, program yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu itu adalah bagi membantu masyarakat Islam minoriti di beberapa negara untuk turut sama memiliki naskhah kitab suci itu dan terjemahannya dalam bahasa masing-masing.
‘‘Kerajaan berharap setiap lapisan masyarakat negara ini dapat menterjemahkan komitmen mereka dengan menyumbangkan dana kewangan bagi menjayakan program itu sekali gus menyemarakkan aktiviti ihya Ramadan.
‘‘Dana kewangan tersebut akan digunakan bagi membantu masyarakat minoriti Islam di seluruh dunia khususnya masyarakat Islam di Kemboja, China dan Russia bagi mendapatkan bekalan naskhah al-Quran dan tafsirannya dalam bahasa masing-masing,” kata beliau pada pelancaran program berkenaan di Masjid Putra di sini hari ini.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Turut hadir pengerusi bersama program itu, Lt. Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abd. Latiff Mirasa.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan 5,000 naskhah al-Quran kepada ATM yang diwakili oleh Azizan manakala 5,000 naskhah lagi kepada Kementerian Dalam Negeri yang diwakili oleh Abu Seman.
Naskhah al-Quran bernilai hampir RM1 juta itu merupakan sumbangan Yayasan Taqwa.
Perdana Menteri berkata, inisiatif yang dilakukan melalui program tersebut dapat menunjukkan kepada dunia Islam bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa terkehadapan dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kemasyarakat sejagat.
‘‘Kita juga akan dilihat sebagai sebuah negara yang peka dengan penderitaan negara-negara Islam yang lain,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau difahamkan pada tahun lepas Kementerian Pertahanan (Kementah) telah mendapat sumbangan lebih RM1 juta daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mushaf al-Quran telah diedarkan kepada para pegawai kanan dan berpangkat kolonel ke atas.
‘‘Jadi, saya meminta agar keuntungan LTAT dapat terus dijadikan sebagai sebahagian amal jariah dan mudah-mudahan pegawai berpangkat kolonel ke bawah akan memperoleh mushaf yang sama pula tahun ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang kini dapat menyelaraskan program wakaf al-Quran di peringkat dunia dan berharap ia dapat menjadi satu acara tahunan setiap kali Ramadan.
‘‘Namun, jangan dilupa ada juga di kalangan umat Islam di Malaysia yang belum memiliki mushaf al-Quran dan saya harap Kagat dan Kementah dapat mengedarkannya ke surau-surau, masjid dan pusat-pusat tahfiz serta individu yang belum memilikinya,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri akan hadir ke Kementerian Pertahanan pada 18 Ogos ini bagi menerima sendiri sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat untuk menjayakan program wakaf al-Quran itu.
‘‘Naskah al-Quran yang diwakaf itu akan disampaikan kepada umat Islam minoriti di luar negara melalui atase-atase pertahanan atau kedutaan Malaysia di luar negara,” katanya.
Menurutnya, program yang julung kali dikendalikan oleh ATM itu dijalankan melalui kerjasama tiga firma telekomunikasi iaitu Celcom, Maxis dan DIGI bagi menerima sumbangan melalui SMS daripada para penderma.
‘‘Pada kali ini syarikat telekomunikasi tersebut tidak mengenakan sebarang caj bagi sumbangan tersebut kecuali bayaran bagi kadar laluan.
‘‘Program sumbangan melalui SMS itu berlangsung mulai hari ini sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 17 November ini,” katanya.
Program yang menawarkan sumbangan dari RM1 hingga RM10 boleh dilakukan dengan menaip wakaf 1 bagi RM1 atau seterusnya sehingga wakaf 10 (RM10) dan kemudian dihantar ke 32728.
Sumbangan juga boleh terus disalurkan ke Bank Islam Bhd. atas nama Yayasan Restu Wakaf dengan nombor akaun; 14032010021452.
- UTUSAN