Bijak guna kuasa pembeli

Setiap kali bermulanya ibadah puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, tidak putus-putus kita akan mendengar keluhan pengguna khususnya suri rumah yang 'makan hati' apabila harga barangan keperluan dapur meningkat berbanding dengan bulan-bulan biasa. Bukan itu sahaja, harga jualan di bazar Ramadan juga tidak kurang hebatnya. Jika tidak pun, makanan yang dijual dikecilkan saiznya sehingga tidak berbaloi dengan harga yang dibayar.

Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji bahawa tiada kenaikan harga barangan menjelang musim perayaan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Buktinya, baru sehari Ramadan tiba, harga barangan di kedai-kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur didapati lebih mahal daripada hari-hari biasa. Penulis terkejut apabila mendapati harga beberapa gram bawang kecil yang dibeli di sebuah kedai runcit di Taman Ukay Perdana, Ampang lebih mahal daripada hari biasa. Memandangkan sudah hampir tujuh tahun penulis membeli barangan keperluan runcit di kedai tersebut, maka sebarang perubahan harga dapat dikesan dengan mudah.

Misalnya, sekeping belacan yang biasa dibeli pada harga RM1.30, kini meningkat kepada RM1.50. Nampaknya para peniaga tidak peduli dengan peringatan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

Ingatan itu bukan sahaja diberi oleh menteri berkaitan, malah pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akhbar ini semalam turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga barang dan makanan pada bulan Ramadan.

Mengulas perkara tersebut, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna dan Sosial Petaling (CAPs), Ismail Abdul Aziz berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan terhadap harga barangan kawalan diperluaskan meliputi barangan lain yang tidak kurang pentingnya kepada pengguna.

Menurutnya, banyak barangan yang tidak termasuk di dalam senarai barangan kawalan seperti susu pekat manis, milo, margerin, barangan membuat kuih raya dan lain-lain meningkat harganya pada bulan Ramadan.

"Mengikut pemerhatian CAPs, kenaikan harga barangan tersebut berlaku setiap kali musim perayaan.

"Apa yang kita mampu lakukan hanyalah menasihati pengguna supaya berjimat dan membuat perbandingan harga sebelum membeli," katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, katanya, setakat mana pengguna mahu membuat perbandingan harga kerana ia satu kerja leceh yang memaksa mereka pergi dari satu tempat ke satu tempat lain.

"Ini membuatkan kerja-kerja membandingkan harga menjadi tidak berkesan terutama bagi pengguna yang sentiasa sibuk mengejar masa bagi memenuhi tuntutan kerjaya dan keluarga.

"Apa yang berlaku, mereka akhirnya akan membeli di sebuah pasar raya atau kedai runcit sahaja walaupun menyedari terdapat peningkatan harga yang ketara," tambahnya.

Justeru, katanya, nasihat supaya pengguna membuat perbandingan harga sekadar tinggal nasihat sahaja kerana ia sebenarnya tidak dilakukan oleh mereka.

Selain itu, Ismail yang juga ahli majlis dalam Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendakwa penguatkuasaan yang dilakukan oleh KPDNKK bagi memastikan harga kawalan dipatuhi oleh pemborong, pembekal, pengedar, peruncit dan peniaga masih longgar, dan perlu diperkukuhkan.

"Penguatkuasaan dan tindakan amat longgar sehinggakan golongan tersebut tidak takut untuk mengulangi perbuatan menaikkan harga sesuka hati," katanya.

Memandangkan itu, katanya, pengguna perlu bijak menggunakan kuasa pembeli dengan menangguhkan pembelian barangan untuk seketika.

"Jika barang yang mahu dibeli itu masih ada di rumah walaupun tinggal sedikit, jangan beli lagi barang itu. Tangguh dulu dan jika ramai pengguna mempraktikkan perkara ini, saya yakin kemenangan akan memihak kepada pengguna," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, pihaknya menggariskan lima nasihat untuk pengguna agar tidak tertipu dengan kerenah peniaga yang mengambil kesempatan terhadap kedatangan Ramadan.

Mengakui bulan Ramadan ditunggu-tunggu oleh peniaga yang mahu mengaut keuntungan yang lebih, pertama sekali beliau menasihatkan pengguna supaya tidak membeli barangan yang luar biasa murah harganya.

"Tentu ada yang tidak kena jika sesuatu barang itu dijual pada harga yang terlalu murah. Mungkin ia barangan yang tidak berkualiti, hampir luput tarikh atau mempunyai kecacatan yang tidak kita sedari," katanya.

Yang kedua adalah pengguna perlu berdisiplin dalam membuat pembelian iaitu beli mengikut keperluan, bukannya kemahuan.

"Yang ketiga, sebelum membuat sebarang pembelian, dapatkan nasihat daripada isteri atau suami atau anak-anak atau ibu bapa," tambahnya.

Nasihat beliau yang keempat adalah membeli secara tunai, bukannya menggunakan kad kredit atau secara berhutang.

Katanya, jika kita membeli secara tunai maka kita akan lebih menghargai dan menyayangi duit yang ada.

"Yang terakhir, perlu bijak menggunakan barangan kitar semula. Apa yang dimaksudkan di sini adalah jika barangan itu masih elok, misalnya langsir atau perabot, usah ditukar baru. Gunakan saja yang sedia ada.

"Begitu juga dalam aspek menyediakan kuih raya. Kita boleh bertukar-tukar kuih raya dengan adik beradik atau rakan-rakan. Secara tak langsung, jenis kuih raya yang kita ada akan bertambah," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url