Australia beralih ke media baru


Seorang nenek, Lesly Dewar berjaya meraih perhatian luar biasa dalam kempen pilihan raya Australia baru-baru ini apabila mengumpulkan 12,350 pengikut dalam laman sosial Twitter menerusi 140 ulasan politiknya.

Pesara perancang kewangan yang berusia 66 tahun itu mula menggunakan blog mikro tersebut sejak dua tahun lalu. Kini beliau berada pada ranking ke-100 dalam rangkaian laman sosial tersebut sempena kempen pilihan raya Australia 2010.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan media pemantau laman web Australia, BuzzElection, kehebatan nenek itu diperkatakan memandangkan pesaing terdekat dalam ulasan kempen pilihan raya negara Kanggaru itu ialah kumpulan wartawan politik, ketua kesatuan pekerja, ahli parlimen dan majalah The Economist.

"Saya memberi ulasan secara santai dan relaks dalam Twitter. Saya tidak memaksa diri apabila memberi ulasan, ia secara semula jadi bagaikan itik yang berenang di dalam tasik.

"Salah satu sebab mengapa saya menyukai Twitter kerana anda berpeluang berkomunikasi pelbagai topik dengan sesiapa saja dari seluruh dunia," jelas Dewar selepas berjaya mengagumkan lebih 41,000 pengguna Twitter.

Dewar merupakan salah seorang daripada sejuta rakyat Australia yang menggunakan Twitter selain sembilan juta yang lain menggunakan Facebook. Ia merupakan bukti kepada peralihan dan kepercayaan terkini penduduk negara itu kepada media baru iaitu laman rangkaian sosial dalam melayangkan pelbagai pendapat dan isu.

Adakah pemimpin Parti Buruh pimpinan Julia Gillard dan pesaingnya, parti perikatan pembangkang Liberal, yang diketuai Tony Abbott membaca isu di media laman rangkaian sosial?

Pertama kali dalam sejarah politik di Australia pada tahun 2007, penyokong parti Buruh begitu ghairah menggunakan Internet seperti YouTube dan kaedah lain untuk menyokong secara talian.

"Saya fikir kedua-dua parti telah menggunakan strategi sasaran tersebut," ujar pakar Axel Bruns dari Queensland University of Technology.

"Kami dapati terdapat bermacam-macam tarikan menggunakan video YouTube. Parti Buruh lebih cenderung menggunakan kaedah ini bagi menunjukkan mereka lebih moden berbanding kumpulan Liberal. Pilihan raya kali ini juga tidak kurang kesannya," ujar Bruns.

Reaksi orang ramai

Stesen televisyen ABC, buat pertama kali memasukkan reaksi orang ramai tentang pilihan raya dan populariti pemimpin dan parti dalam Campaign Pulse, laman web pilihan raya.

Pada masa yang sama ABC juga menyiarkan data Twitter secara langsung dalam program debat di televisyen. Melalui cara tersebut, para penonton berpeluang bertanyakan soalan kepada ahli politik dan melontarkan pendapat mereka.

Jurucakap ABC memberitahu, pihak penyiar mahu menyertai rangkaian laman sosial di Australia yang semakin popular dan mahu merasai demokrasi.

"Ia memberi peluang kepada orang ramai melibatkan diri dan bukan semata-mata bergantung kepada mereka yang pakar," katanya.

Dalam pada itu, Bruns turut menyatakan terdapat satu kes mengenai Ahli Parlimen Australia yang melihat Facebook dan platform lain sebagai papan kenyataan perhubungan awam yang ideal berbanding kaedah konvensional lain.

Menurutnya, laman rangkaian sosial menyebabkan seseorang perlu berkomunikasi dengan orang ramai bagi menampakkan penglibatan secara efektif.

"Benar, kebanyakan orang mempunyai Facebook tetapi tidak terlalu menarik. Hanya mempunyai pengikut tapi tidak dapat melakukan apa-apa untuk anda. Anda hanya perlu berkata sesuatu."

Seorang wartawan dan ahli akademik, Julie Posetti, bersetuju.

"Ahli politik itu perlu berwaspada dan mempraktikkan pendekatan selamat dalam laman rangkaian sosial," ulas Posetti.

Berdasarkan Biro Statistik Australia, negara itu memiliki populasi yang semakin tua, dengan 36.9 peratus rakyatnya terdiri daripada golongan pertengahan usia manakala 13.3 peratus pula berumur 65 tahun ke atas.

Dewar percaya warga emas Australia mungkin enggan mendekati media sosial baru kerana bimbangkan soal privasi tetapi Bruns pula menyatakan bahawa tanggapan itu bakal berubah.

"Kami melihat, terutamanya di Twitter, demografi menunjukkan lebih banyak mereka dalam lingkungan umur pertengahan menggunakannya berbanding generasi muda," ujarnya.

"Apa yang pasti, kini kami mempunyai jumlah pengundi yang ramai di Facebook."

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url