Jiwa Fotografi Muzaffar
Di satu sudut taman, kelihatan dua orang gadis leka membetulkan tudung masing-masing. Seorang memakai tudung berwarna biru, manakala temannya menawan dengan warna kegemaran, merah jambu.
Di hadapan mereka, seorang lelaki berkemeja ungu berbelang putih lengkap dengan ves rona kelabu asyik membetulkan kameranya.
Sebaik menyedari pelanggannya sudah bersedia, tanpa berlengah jarinya pantas menekan picu kamera. Bertalu-talu sebelum berhenti seketika sambil membelek hasil gambar yang dirakamnya.
Sesekali kelihatan lelaki itu tersenyum dan kadangkala mengerutkan dahi. Mungkin kurang berpuas hati dengan hasil kerjanya.
Kemudian, dia meminta dua remaja tersebut menukar gaya dan beraksi secara spontan sebelum menyambung tugasnya dengan penuh semangat.
"Bagi saya fotografi ialah melihat kehidupan di sebalik gambar yang dihasilkan oleh lensa kamera. Apa yang saya lihat saat memetik picu kamera, itu juga yang saya ingin orang lain rasakan apabila melihat gambar yang terhasil," kata jurugambar amatur muda, Tuan Ahmad Muzaffar Tuan Rosdan.
Lebih mesra dengan nama panggilan Epa, pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu, minatnya dalam dunia fotografi bermula sejak umurnya 14 tahun.
Ketika itu, dia sentiasa memerhatikan bapanya, Tuan Rosdan Tuan Muda menggunakan kamera SLR Minolta X-700 dengan perasaan teruja.
Namun, perasaan tersebut hanya disimpan dalam hati hinggalah pada suatu hari bapanya secara tiba-tiba memberi peluang pada Epa untuk menggunakan kamera itu.
"Itulah kamera pertama yang saya cuba. Ia menggunakan filem. Abah kemudian memberi ilmu serba sedikit tentang asas fotografi seperti mengajar apa itu aperture, shutter speed, iso, rule of third dan sebagainya.
Kamera Nikon D50
"Saya terus jatuh cinta dalam bidang ini," jelas Epa yang kemudian menyambung pelajaran ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Perlis dalam jurusan Diploma Media Digital (Seni Digital) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus memulakan kehidupan sebagai jurugambar. Menurutnya, pada semester pertama, orang tuanya membelikan sebuah kamera Nikon D50 untuk kegunaan di kampus.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah juga perasaan yang dialami oleh anak kedua daripada 11 adik-beradik itu memandangkan dia sudah lama menanam impian untuk memiliki kamera tersebut.
Sepanjang tiga tahun di politeknik, Epa menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan pada setiap semester dengan keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) seperti 3.25, 3.41, 3.46 dan 3.47.
Malah, sewaktu mengikuti latihan industri pada semester empat, dia turut mencatat keputusan cemerlang berdasarkan komitmen yang ditunjukkan anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu.
Di samping itu, kerana cintanya pada arena rakaman di sebalik lensa kamera, penggemar nasi kerabu itu mula menabung semata-mata untuk membeli segala peralatan kamera yang memerlukan wang yang bukan sedikit.
"Saya mula mencari duit poket sendiri dengan menjadi jurugambar amatur. Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia. Bidang inilah yang menjadi sumber pendapatan saya sepanjang belajar.
"Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa dengan meminta wang daripada mereka. Maklumlah adik-beradik pun ramai.
"Sejak itu, saya menyediakan jadual tugasan sendiri untuk membahagikan masa di antara akademik dan kerja-kerja fotografi. Ia begitu menyeronokkan di samping memberi pengalaman tersendiri," tutur Epa yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam jurusan Teknologi Multimedia dalam Animasi Komputer di Universiti Kuala Lumpur MIIT.
Hingga kini, Epa mengakui sudah menghabiskan lebih daripada RM10,000 untuk membeli peralatan kamera bagi meningkatkan kualiti dan mutu gambar yang dirakam.
Berhabis ribuan ringgit
Antaranya seperti badan kamera Nikon D300 bernilai RM4,000, lensa sudut luas Tokina 11-16mm f2.8 (RM2,300), lensa prime 50mm f1.4 (RM1,200), lensa zoom 80-200mm f2.8 (RM2,000), lensa fisheye Peleng 8mm f3.5 (RM2,000), flash Nikon SB600 (RM850 setiap satu) dan banyak lagi.
"Semua perbelanjaan itu menggunakan duit hasil titik peluh daripada perkhidmatan fotografi mjlis perkahwinan, pertunangan, sambutan hari lahir, konvokesyen dan banyak lagi," ujarnya yang cenderung mengambil gambar landskap, alam alam sekitar dan fotografi seni halus yang mempunyai 1,001 makna untuk ditafsir.
Salah seorang pelanggan, Nazrul Aznan Mohd. Kadri, 27, berkata, dia memilih Epa sebagai jurugambar rasmi majlis perkahwinannya selepas dicadangkan oleh adiknya, Nazrul Izwan, 22.
Bagaimanapun, Nazrul Aznan tidak terburu-buru membuat keputusan berikut. Sebaliknya, dia meneliti terlebih dahulu hasil kerja Epa yang dipaparkan di dalam laman web miliknya.
Ternyata, segala karya yang terdapat di dalamnya menarik minat juruteknik komputer itu untuk menggunakan perkhidmatan Epa.
"Majlis perkahwinan merupakan satu peristiwa penting bagi setiap insan. Jadi, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk memastikan potret kami bergelar raja sehari dirakam dengan sempurna.
"Meskipun masih muda dan masih belajar, tetapi saya amat berpuas hati dengan hasil kerja Epa. Dia sangat profesional dan sentiasa memenuhi permintaan kami tanpa sebarang rungutan," kata suami kepada Hariani Hamidin, 26, itu. Pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan pada 28 Februari lalu.
Pendapat Nazrul Aznan disokong oleh Nur Mastura Azmi, 22, seorang lagi pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan Epa untuk merakam gambar potret dirinya.
Mengenali Epa sejak belajar di Perlis, Nur Mastura turut memuji kerja-kerja fotografi sahabatnya itu.
"Dia pandai mengambil hati pelanggan dan tidak jemu melayan permintaan mereka. Saya juga suka dengan gaya kerjanya yang teratur, tidak cerewet dan bayaran yang berpatutan," beritahu pembantu peribadi di Kementerian Kesihatan itu.
Bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan, Epa mempunyai pakej tersendiri bermula dari RM700 hinggalah mencecah RM4,000 bergantung kepada permintaan pelanggan.
Selain itu, dia juga menerima permintaan untuk fotografi konvokesyen yang bermula dari harga RM100 dan ke atas.
Epa turut mengambil tawaran kerja-kerja fotografi untuk majlis hari jadi, majlis rasmi seperti seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan sebagainya.
Epa juga melahirkan cita-citanya untuk menjadi seorang jurugambar profesional yang mampu melebarkan sayap ke luar negara.
"Walaupun ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi saya tetap optimis dan akan berusaha untuk merealisasikan impian tersebut," katanya yang mengkagumi karya-karya jurugambar terkemuka dunia iaitu Yuri Arcurs dari Denmark disamping jurugambar tempatan Ariff Budiman.
Untuk melihat karya-karya fotografi Epa, anda boleh layari laman web eppaphotography.blogspot.com
- KOSMO!
saya nur nadiah. saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang kos seni digital. boleh saudara terangkan? sebab adik saya baru mendapat tawarn menyambung pelajaran di politeknik arau. terimakasih