Ular pula 'serang' New Delhi
NEW DELHI - Macam-macam hal berlaku di New Delhi yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2010.
Masalah denggi, kebersihan serta kelewatan menyiapkan venue pertandingan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan negara-negara peserta temasya tersebut yang akan berlangsung pada 3 hingga 14 Oktober ini.
Terbaru, beberapa penangkap ular memberitahu bahawa mereka telah berjaya menangkap ular jenis Cobra yang bersembunyi dalam pusat tenis yang baru siap dibina khusus untuk Sukan Komanwel.
Penemuan ular itu dilaporkan selang tujuh hari sebelum berlangsungnya acara tenis Sukan Komanwel yang dijadual bermula minggu depan.
"Kami diminta pihak penganjur Sukan Komanwel untuk membantu menangkap seekor ular yang ditemui bersembunyi dalam Stadium Tenis R.K. Khanna ini.
"Ular itu berjaya ditangkap dan kami membawanya keluar sebelum dipindahkan," kata Ketua Jabatan Pemeliharaan dan Kecemasan Hidupan Liar India, Kartick Satyanarayan semalam.
Ini merupakan ular kedua ditemui sebelum bermulanya Sukan Komanwel.
Ular pertama bagaimanapun tidak berjaya ditangkap tetapi disahkan ditemui dalam satu bilik atlet Afrika Selatan di perkampungan sukan.
Penemuan ular pertama itu didedahkan Pesuruhjaya Tiinggi Afrika Selatan ke India, Harris Mbulelo Mejeke kelmarin.
- AFP