Top Ad 728x90

Kampus baru UIAM di Pagoh dijangka ambil pelajar 2012

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan membina kampus di Pagoh, Johor dan beroperasi pada 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Pagoh sememangnya dibangunkan sebagai hab pendidikan dan pembukaan kampus baru UIAM di kawasan itu mampu menjadikannya sebagai sebuah pusat pengajian terkemuka.

Saya sangat gembira kerana difahamkan UIAM sudah menubuhkan dua lembaga kajian bagi melihat kursus pengajian kejuruteraan untuk ditawarkan kampus baru di Pagoh nanti.
Apa pun saya berharap kampus baru UIAM Pagoh akan dapat memulakan operasinya menjelang 2012. Kerajaan akan memberi sepenuh sokongan bagi penubuhan kampus UIAM di Pagoh, katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Muhyiddin meluangkan masa lebih satu jam bagi beramah mesra dengan lebih 3,000 pelajar dan kakitangan UIAM yang menghadiri majlis berkenaan serta menyampaikan duit raya kepada 40 penghuni Asrama Damai Anak Yatim Kuang, Selangor.

Selain kampus induk di Gombak, UIAM mempunyai cawangan di Kuantan, Pahang; Damansara, Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Nilai.

UIAM kini mempunyai kira-kira 22,000 pelajar dengan 5,000 ialah pelajar ijazah lanjutan. Daripada jumlah itu, kira-kira 4,600 ialah pelajar asing dari lebih 90 negara
Sementara itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain kursus kejuruteraan, kampus Pagoh itu bakal memiliki fakulti Bahasa Moden dan Pertanian.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menggesa orang ramai termasuk pelajar supaya mengamalkan budaya taaruf bagi memahami antara satu sama lain serta menghormati kepelbagaian serta mengamalkan toleransi.

Budaya ta'aruf yang dipandu oleh prinsip toleransi dan kesederhanaan seperti terkandung dalam al-Quran, akan menjadikan kita sebagai masyarakat yang hidup penuh harmoni dengan kepelbagaian (kaum dan agama) sebagai sumber kekuatan kita," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90