Konsep 1Malaysia perlu difahami, didalami

Kita sebagai rakyat Malaysia pelbagai kaum menikmati kemerdekaan negara selama 53 tahun. Kita juga menyambut sesuatu perayaan pelbagai kaum dengan semangat kekitaan tanpa mengira kaum, puak dan agama dengan semangat rumpun yang harmoni.

Negara kita juga dipimpin oleh pemimpin pelbagai kaum supaya negara kita berada dalam keadaan terurus dan teratur supaya rakyatnya sama-sama menikmati kemudahan untuk bergerak bebas tanpa kekacauan hasil daripada pengurusan pentadbiran negara yang sangat baik.

Tetapi sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai isu yang boleh memecah belahkan kaum. Saya sebagai rakyat yang beragama Islam amat berharap penduduknya yang pelbagai kaum dan agama dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan menumpukan tanggungjawab masing-masing terhadap agama, bangsa dan negara supaya Malaysia kita kekal aman sentosa.
Kita tidak mahu perkara remeh-temeh, hasut-menghasut, kata mengata dan kutuk mengutuk boleh memecah belahkan hubungan antara kaum dan agama, sekali gus hubungan yang kita jalinkan selama ini jadi renggang.

Kita perlu faham dan mendalami konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri. 1Malaysia juga bermaksud negara ini mempunyai rakyat yang unik pelbagai bangsa hidup dalam keadaan aman harmoni.

Mulai hari ini marilah sama-sama kita renung dan fikirkan sejenak bahawa apakah kesudahannya apabila rakyat di negara kita berpecah-belah. Sudah tentu negara akan mundur, pelabur tidak akan berdagang dan berurus niaga dalam negara kita.

Akhirnya, ekonomi jatuh merudum dan rakyat yang tidak bersalah mendapat susah dan sebagainya. Mari sama-sama renungkan bahawa kita perlu menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang berhemah dan berpegang teguh dengan ajaran agama masing-masing.

Saya percaya semua agama menuntut penganutnya menjaga keharmonian sesama insan di muka bumi dan tidak melakukan kekacauan dan perpecahan semasa manusia. Marilah sama-sama kita bermaafan dan saling ziarah-menziarahi sesama kita sempena Aidilfitri ini supaya negara kita aman sentosa.

RAKYAT MALAYSIA,
FELDA Lubuk Merbau.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url