Kontinjen Malaysia tetap beraksi di Sukan Komanwel India 2010
Kontinjen Malaysia tidak akan menarik diri pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India yang bakal bermula 3 hingga 14 Oktober depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegaskan, keputusan untuk menarik diri daripada temasya tersebut adalah bukan suatu pilihan buat kontinjen Malaysia.
Beliau berkata, jika kontinjen Malaysia menarik diri daripada kejohanan yang melibatkan negara-negara bekas jajahan British itu, ia bakal menimbulkan implikasi yang besar kepada atlet negara.
“Soal tarik diri daripada Sukan Komanwel adalah bukan satu pilihan bagi kita.
“Tetapi saya tetap menasihatkan pegawai-pegawai dan juga atlet-atlet kita supaya bersedia dan berjaga-jaga ketika berada di sana (India) nanti,” kata Shabery pada sidang akhbar ketika Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Isu keselamatan para atlet di India mula menjadi persoalan apabila beberapa insiden tidak diingini berlaku ketika kurang dua minggu lagi temasya itu berlangsung.
Selasa lalu, sebuah jambatan pejalan kaki yang dalam pembinaan berhampiran Stadium Utama Jawaharlal Nehru dilaporkan runtuh sehingga menyebabkan 20 pekerja pembinaan cedera.
Sebelum itu, dua pelancong Taiwan cedera selepas ditembak dua lelaki tempa- tan berhampiran Masjid Jama di New Delhi.
Dua insiden tersebut telah menimbulkan kerisauan beberapa negara peserta seperti New Zealand, England dan Australia dan ramai atlet mereka mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi di New Delhi.
Begitupun, Shabery memberi jaminan bahawa semua atlet negara yang akan berjuang pada temasya itu nanti tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan di India, sebaliknya perlu memberi tumpuan yang penuh terhadap misi menghadiahkan kilau- an emas buat kontinjen Malaysia.
“Saya berani beri jaminan keselamatan kepada atlet kita, bukan saja pada Sukan Komanwel di New Delhi, bahkan pada Sukan Asia di Guangzhou, China.
“Malaysia sebenarnya bukanlah sasaran bagi pengganas atau puak pemisah di sana tetapi ia tidak bermakna kita tidak mungkin diancam bahaya.
“Tetapi saya yakin dengan tahap keselamatan di sana. Kementerian Dalam Negeri juga sedia membantu dengan menghantar pegawai keselamatan memantau keadaan di sana dan akan memberi nasihat sepanjang temasya itu berlangsung,” ujarnya.
- KOSMO!