Wasiat terperinci mudah tadbir pusaka

Artikel oleh AmanahRaya

Apa yang berlaku kepada Sofea (bukan nama sebenar) bukan satu perkara baru bahkan banyak terjadi dan kesannya begitu besar kepada semua pihak terutama waris.

Sofea kehilangan suami, Amir (bukan nama sebenar) tanpa diduga. Amir meninggal dunia beberapa bulan lalu akibat sakit jantung. Tanpa diduga, sewaktu hayatnya Amir ada mempunyai wasiat bersama AmanahRaya.
Sofea tidak tahu apa isi kandungan wasiat itu. AmanahRaya menghubungi Sofea untuk memaklumkan mengenai wasiat arwah suaminya dan AmanahRaya sebagai wasi serta pemegang amanah mentadbir pusaka berwasiat.

Sebagai balu, Sofea diminta hadir pada majlis pembacaan wasiat di pejabat AmanahRaya. Sofea bersetuju kerana mahu segala-galanya diselesaikan secepat mungkin dan ingin meneruskan hidup bersama anak.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, belum berakhir kesedihan kehilangan suami tercinta, ibu mentuanya Maimon (bukan nama sebenar) yang sememangnya sudah lama uzur, meninggal dunia dua minggu selepas kematian Amir.

Pada majlis pembacaan wasiat, isi kandungan wasiat terakhir dan penerangan mengenai proses pentadbiran pusaka berwasiat diterangkan kepada waris. Sofea hadir bersama abang kandung Amir, Fadhil dan waris lain.
Pada dasarnya hubungan Sofea dengan ipar duainya baik. Meskipun begitu, Sofea berasa gementar sementara menunggu majlis pembacaan wasiat bermula kerana banyak cerita negatif didengarnya berhubung perebutan harta pusaka.

Majlis pembacaan wasiat dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Amir dan Allahyarhamah ibunya, Maimon.

Sofea dan waris lain mendapat penerangan lengkap daripada pegawai AmanahRaya mengenai objektif majlis itu serta manfaatnya kepada semua waris yang hadir.

Sofea dan ahli waris lain sudah dimaklumkan bahawa wasiat Amir adalah wasiat asas di mana pewasiat bersetuju melantik AmanahRaya sebagai wasi, tiada klausa pembahagian harta alih dan tak alih kepada waris secara khusus, hanya secara faraid. Senarai aset dan liabiliti tidak dinyatakan.

Wasiat Terperinci adalah wasiat lengkap mengandungi klausa pembahagian harta alih dan tak alih secara khusus kepada waris, senarai aset dan liabiliti dinyatakan, juga klausa amal jariah, pelantikan penjaga dan pesanan agama.

Kelebihan wasiat terperinci memudahkan dan mempercepatkan proses pentadbiran pusaka kerana senarai aset, liabiliti serta cara pembahagian dinyatakan dan jika ada waris di bawah umur, pelantikan penjaga sudah dibuat. Pewasiat juga boleh membahagikan hartanya untuk amal jariah.

Ketika itu Fadhil membangkitkan isu pusaka arwah ibunya yang turut menerima bahagian daripada harta anaknya, Amir.

Pegawai AmanahRaya menerangkan kes pusaka Amir ialah pentadbiran pusaka berlapis iaitu berlaku kematian salah seorang waris (ibunya Maimon) sebelum sempat pusaka Amir diselesaikan. Waris juga dijelaskan pusaka berlapis tidak menimbulkan masalah.

Dalam kes ini, pusaka berlapis antara pusaka arwah Amir yang menjadi pusaka Maimon boleh diselesaikan dengan pelantikan segera pentadbir bagi pusaka Maimon kerana beliau tidak mempunyai wasiat. Maka, harta pusaka Maimon belum ada pentadbir dan wang akan di hantar ke wang menunggu dituntut (WMD).

Fadhil memaklumkan, sebagai waris beliau dan adik-adiknya secara muafakat bersetuju menerima bahagian arwah ibunya dalam bentuk wang saja. Lain-lain harta seperti rumah, tanah dan kenderaan ditolak bahagiannya kepada Sofea supaya dapat terus menetap di rumah itu bersama empat anaknya.

Sofea berterima kasih kepada iparnya yang bersedia memberi rumah untuk beliau dan anak serta AmanahRaya yang membantu mengendalikan proses pembahagian harta itu.

Sebulan kemudian, Sofea menerima sepucuk surat memaklumkan proses pentadbiran kini berada di peringkat mendapatkan Geran Probet di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kecekapan AmanahRaya memudahkan dan mempercepatkan proses menyelesaikan pusaka Amir.

Bagaimanapun, ketika membuat pindah milik geran kenderaan daripada nama Amir ke nama beliau di Jabatan Pengangkutan Jalan, berlaku kekeliruan. Sofea mendapatkan bantuan AmanahRaya.

Beberapa hari sebelum menyambut Ramadan, Sofea menerima e-mel daripada pegawai AmanahRaya memaklumkan AmanahRaya akan membuat bayaran interim. Berita itu disambut baik Sofea untuk membuat persiapan Ramadan seterusnya Syawal.

Sofea juga dimaklumkan permohonan menggunakan wang dalam jagaan AmanahRaya bagi tujuan nafkah, sambutan perayaan dan juga pembelajaran. Sofea gembira kerana beliau memang memerlukan bantuan untuk sesi persekolahan anaknya nanti.

Pembayaran bahagian pusaka arwah ibu mentuanya juga berjaya diselesaikan walaupun pentadbiran harta pusaka Amir masih belum selesai sepenuhnya. Sofea berasa lapang dan tenang kerana AmanahRaya sudah melaksanakan zakat simpanan serta badal haji untuk Amir.

Sofea bersyukur dengan tindakan suaminya menulis wasiat dengan AmanahRaya yang berjaya mengendalikan pusaka Amir bernilai kira-kira RM1 juta.

Setelah selesai pentadbiran pusaka suaminya, Sofea berhajat untuk membuat wasiat bagi dirinya untuk memastikan kebajikan anaknya terus terjamin apabila beliau tiada kelak. Kehilangan suami secara mengejut memberi kesedaran pentingnya membuat perancangan harta pusaka semasa hidup.

Kesimpulannya:

# Dokumen wasiat yang melantik AmanahRaya sebagai wasi dan pemegang amanah memberi kuasa untuk melindungi hak dan kebajikan waris yang berhak.

# Apabila seseorang berwasiat di AmanahRaya, urusan pentadbiran pusaka dapat dilaksanakan dengan segera kerana AmanahRaya mempunyai rekod dan dokumen pewasiat.

# Walaupun boleh dirahsiakan, wajar memaklumkan kewujudan wasiat kepada mereka yang boleh dipercayai. Tujuannya, untuk memaklumkan AmanahRaya dengan kadar segera apabila berlaku kematian.

# Proses pentadbiran pusaka berwasiat berjalan dan diatur berdasarkan undang-undang.

# Pemuafakatan dalam kalangan keluarga adalah langkah terbaik menyelesaikan pusaka simati dengan segera kerana ia tidak mengganggu proses penyelesaian dan penghasilan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url