Harga tenusu dijangka naik
“Apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga lebih tinggi.
“Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa dan belum lagi ada sebarang kenaikan,” katanya selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri di Seremban 2.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga susu tepung tanpa lemak iaitu bahan mentah utama produk tenusu yang dijangka meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) setan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) setan metrik dalam suku keempat tahun lalu.
Menurutnya, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya benar-benar meningkat di pasaran dunia.
“Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar kawalan kita. Ini kerana, kita beli barang diimport.
“Perkara ini banyak kali berlaku. Sebagai contoh, bawang putih, harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari China turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata, meskipun kementerian akan membentangkan Akta Anti Percatutan 2010 di Parlimen bulan ini yang dijangka diluluskan bagi tujuan menyekat peniaga daripada mengaut keuntungan tidak munasabah, namun ia masih tidak boleh menghalang pengeluar menaikkan harga barang tersebut.
Katanya, sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia, kerajaan tidak boleh menghalang ataupun mengambil tindakan jika mereka menaikkan harga susu.
“Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab yang munasabah.
“Sebagai contoh, topeng muka. Peniaga beli 30 sen dan jual 50 sen tetapi apabila permintaan meningkat dan mereka masih membeli dengan harga 30 sen sekeping tetapi jual sampai RM5, yang ini memang boleh dikenakan tindakan di bawah akta itu,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail turut menasihatkan pengguna supaya merancang perbelanjaan mereka selain membeli barang dengan lebih bijak.
- UTUSAN