Mulakan hari anda dengan sarapan
Justeru ramai wanita hari ini sibuk mengira kandungan kalori setiap kali memeriksa label makanan sedangkan apa yang mereka perlu titik-beratkan ialah mengambil makanan yang memenuhi khasiat pemakanan yang diperlukan.
Amalan pemakanan yang bijak ialah makan supaya sentiasa sihat bukan makan untuk merampingkan badan.
Ini kerana badan memerlukan jumlah protein, karbohidrat, serta vitamin, mineral dan air yang mencukupi di samping sedikit lemak untuk terus sihat.
Oleh itu jangan mengurangkan makan demi merampingkan badan kerana diet yang tidak mencukupi selalunya akan menyebabkan keletihan, kurang tenaga dan daya konsentrasi di mana akhirnya membuatkan seseorang lesu dan pucat lesi.
Mulakan hari dengan mengambil sarapan yang berkhasiat seperti bijirin sarapan yang mudah disediakan dan dalam masa yang sama ia dapat membantu menjadi ramping dan sihat.
Ramai yang tersalah anggap bahawa dengan tidak mengambil sarapan, mereka dapat mengurangkan kalori makanan mereka.
Sebenarnya, tabiat tidak bersarapan pagi lazimnya akan menjadikan seseorang itu mengambil makanan berlebihan ketika makan tengah hari dan pada waktu-waktu lain.
Amalan itu tidak sihat kerana ia menyebabkan mereka menambah jumlah kandungan kalori dan mungkin lemak yang dimakan dalam sehari.
Meninggalkan sarapan pagi juga dilihat tidak baik untuk kesihatan kerana selepas semalaman tanpa makanan, ia menyebabkan kandungan glukosa dalam darah menjadi rendah di sebelah pagi.
Kandungan glukosa dalam darah yang rendah boleh membawa kepada pelbagai masalah fisiologi dan fizikal seperti pening, pitam, lesu, lenguh, sakit-sakit badan, mudah marah dan sering dihantui perasaan bimbang.
Sebaliknya memilih sarapan berkhasiat setiap pagi penting bagi menghasilkan diet seimbang.
Bijirin sarapan pagi dengan susu adalah pilihan paling ringkas dan lengkap bagi orang dewasa yang menjalani kehidupan agresif dan aktif.
Mereka yang makan bijirin untuk sarapan pagi mendapat lebih banyak bekalan vitamin, mineral dan serat.
Sebenarnya, sarapan pagi menyediakan 25 peratus daripada jumlah kalori atau tenaga harian dan kunci kesihatan yang baik serta badan ramping ialah penjagaan diet yang sempurna, kerap melakukan senaman sederhana serta rehat dan tidur yang mencukupi.
Ketiga-tiga elemen ini penting bagi kesejahteraan menyeluruh, badan, minda dan jiwa di samping bersemangat dengan penampilan diri.
Diet yang seimbang juga memberi tenaga untuk bekerja secara optimum sambil menjadikan seseorang itu sentiasa ceria.
- UTUSAN