Perintah menyucikan sifat Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: “Rasulullah SAW diperintahkan agar menyucikan sifat-sifat Allah SWT dan mengajarkan kepada umatnya perintah tersebut iaitu bagaimana sifat-sifat Allah SWT itu dapat dikenal sebagaimana yang telah kami sebutkan cara menyucikan-Nya.

“Cara menyucikan sifat Allah SWT tidak dapat dilakukan dengan baik, tanpa mempelajari al-Quran. Maka hal ini yang menjadi dorongan keras kemahuan Rasulullah SAW untuk menghafal ayat-ayat al-Quran.

“Daripada sinilah faktor-faktor Allah SWT menjanjikan kepada nabi untuk membacakan ayat-ayat al-Quran yang berisi penyucian sifat-sifat Allah SWT.

“Ia dengan menjelaskan sifat-sifat Allah SWT dan hukum-hukum-Nya yang wajib diketahui, sebagaimana juga Allah SWT dan hukum-hukum-Nya yang wajib diketahui, sebagaimana juga Allah SWT berjanji kepada nabi-Nya tidak akan menjadikan baginda lupa kepada ayat-ayat al-Quran yang telah dibacakan kepadanya”.

Firman Allah SWT: Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan Jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.

Al-Mawardi berkata: Iaitu al-Quran. Syed Qutub berkata: Dalam ayat ini dan di dalam setiap ayat yang membawa panji yang tegas atau undang-undang yang tetap, Allah iringi dengan satu kenyataan yang membayangkan bahawa kehendaknya tetap mengatasi segalanya.

Ia tidak terikat dengan sebarang ikatan, walaupun ikatan yang terbit dari janji-janji dan undang-undangnya sendiri. Pendeknya kehendak dan masyi’ah Allah sentiasa bebas di sebalik undang-undang-Nya.

Inilah yang selalu ditekankan oleh al-Quran di setiap tempat, dan di antaranya ialah di dalam ayat yang bermaksud: “Kecuali apa yang dikehendaki Allah”.

Firman Allah SWT: Kecuali apa yang dikehendaki Allah Engkau lupakan.

Al-Farra berkata: Allah tidak mengkehendaki Muhammad SAW itu lupa sedikit pun daripada al-Quran yang telah diturunkan itu, kecuali kalau maksud daripada pengecualian itu adalah sebagai keterangan andai kata Tuhan mengkehendaki menjadikan Nabi Muhammad SAW itu lupa, maka Tuhan mampu membuatnya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.

Al-Mawardi berkata: Di sini terdapat tiga tafsiran:

i. Allah mengetahui yang nyata dengan maksud apa yang kamu hafaz daripada al-Quran dalam dadamu, sedangkan yang tersembunyi apa yang telah dinasakhkan dari hafazanmu.

ii. Yang terang adalah apa yang telah diketahuinya dan yang tersembunyi, apa yang akan diketahuinya selepas itu. Inilah pendapat Ibn Abbas.

iii. Yang terang apa yang Allah zahirkannya, sedangkan yang tersembunyi apa yang ditinggalkannya daripada ketaatan.

Firman Allah SWT: dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) agama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.

Al-Maraghi berkata: Kami mengarahkan engkau kepada agama yang mudah dirasakan oleh setiap orang yang tidak sukar mengertikan.

Al-Busiri berkata dalam sebuah syair: Tuhan tidak uji kami dengan yang memberati akal, tuhan tidak meragui dan menyangkal.

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia itu mudah untuk melakukan perbuatan bukan perbuatan itu dipermudahkan bagi manusia. Ertinya, suatu perbuatan itu yang dimudahkan bagi manusia.

Maksudnya, suatu perbuatan tidak akan berhasil sekiranya tidak didukung oleh hasrat yang kuat dan kehendak yang teguh untuk mencapainya, serta disertai restu Allah SWT dalam menempuh jalan yang lurus.

Penutup

Syed Qutub berkata: Alam buana yang teratur dan bergerak dengan lancar dan licin itu merupakan kemudahan dan kelancaran dari ciptaan Allah yang tidak pernah berlanggar dan bergesel antara satu sama lain.

Berjuta-juta bintang dan planet beredar di angkasa Allah dan berlari di dalam lingkungan-lingkungan peredaran masing-masing dengan lancar, teratur, seimbang, saling tarik-menarik, tidak berlanggar, tidak kucar-kacir, dan tidak terumbang-ambing.

Berjuta-juta makhluk yang bernyawa meneruskan hidup mereka menuju matlamat masing-masing sama ada dekat atau jauh dengan teratur rapi. Setiap mereka diberikan kemudahan menuju kepada matlamat yang dijadikan untuknya, dan setiap mereka berjalan dengan lancarnya menuju matlamat ini.

Berjuta-juta gerak geri, peristiwa dan keadaan berkumpul dan berpisah di dalam perjalanan menuju matlamatnya laksana nada-nada bunyian dari sebuah orkestra yang memainkan berbagai alat muzik.

Nada-nada itu berkumpul dalam sebuah lagu yang panjang. Itulah keserasian atau keseimbangan yang sempurna di antara sifat alam buana dengan sifat agama, sifat Rasulullah SAW dan sifat umat Muslimin.

Itulah ciptaan Allah Yang Maha Esa, Maha Pencipta, dan Maha Bijaksana.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita taufik dan hidayah-Nya yang layak untuk kita meneruskan kelangsungan hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi. Amin.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url