Public Bank, Esso lancar kad kredit dan debit
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Public Bank Bhd. (Public Bank) dan Esso Malaysia Bhd. (Esso) telah melancarkan kad debit dan kad kredit emas PB-Esso Mobil Visa.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Kad Public Bank, Chong You Lin berkata, kad kredit emas PB-Esso Mobil Visa itu direka untuk menarik minat mereka yang berpendapatan RM18,000 ke atas setahun manakala kad debit PB-Esso Mobil Visa sesuai bagi mereka yang mahu memantau kewangan mereka dengan lebih baik.
Kedua-dua kad itu menawarkan rebat tunai masing-masing sehingga lima peratus dan satu peratus bagi pembelian di stesen-stesen minyak Esso atau Mobil.
Selain itu, pemegang kad juga menikmati rebat tunai 0.5 peratus bagi pembelian runcit yang dibuat di tempat lain. Untuk mendapatkan rebat adalah mudah tanpa memerlukan baki dibawa ke hadapan. Rebat tunai yang diperoleh akan dikreditkan setiap bulan ke dalam akaun kad pemegang kad.
Sempena pelancaran kad-kad baru itu, rebat tunai tambahan sebanyak tiga peratus akan diberi kepada pemegang kad kredit yang menggunakan kad tersebut di stesen servis Esso atau Mobil sepanjang tempoh promosi selama enam bulan mulai 31 Mac 2011.
Kad kredit dan kad debit tersebut juga ditawarkan dengan pengecualian yuran tahunan sepanjang hayat tanpa syarat, menjadikan kedua-duanya kad yang benar-benar mesra pengguna.
- UTUSAN