Ziarah Madinah

Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA

Masjid Quba' terletak di perkampungan Bani Amru ibnu Auf iaitu kira-kira tiga kilometer ke selatan kota Madinah.

Rasulullah tiba di Quba' pada Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M. Masjid itu dibina atas sebidang tanah tempat pengeringan tamar milik Kulthum ibnu Hadam.

Ia dinamakan Masjid Quba' sempena nama sebuah perigi yang berada di tempat tersebut. Setelah selesai pembinaan masjid Rasulullah SAW bersama sahabat solat berjemaah secara terbuka berkiblatkan Baitulmaqdis.

Masjid itu mempunyai kelebihannya tersendiri. Allah SWT merakamkan di dalam surah al-Taubah ayat 108 tentang kelebihan bersolat di dalamnya. Firman Allah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang keluar dari rumahnya kemudian sampai di Masjid Quba' dan bersembahyang di dalamnya baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah. (riwayat Nasaie dan ibn Majah)

Uhud

Jabal Uhud atau bukit Uhud berwarna kemerah-merahan terletak lima kilometer ke utara Madinah. Ia memanjang membatasi kawasan syuhada Uhud.

Terdapat satu bulatan besar dibina di sekeliling perkuburan syuhada Uhud. Di belakangnya terletak bukit yang kemerah-merahan di kenali sebagai Jabal Uhud manakala dalam bulatan besar itu terletak perkuburan syuhada, Bukit Rumah iaitu bukit yang ditempatkan 50 pemanah dan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Uhud.

Di kawasan masjid itulah Saidina Hamzah terbunuh dan gugur syahid. Beliau dikebumikan di tempat jasadnya terbunuh. Selain saidina Hamzah dua Kibarul Muslimin antaranya Abdullah ibn Jubair al-ansari (ketua barisan pemanah) dan Mus'ab ibn Umair (pemegang panji-panji Islam).

Hampir 70 orang sahabat terbunuh, enam di kalangan mereka daripada Muhajirin dan bakinya dari al-Ansar.

Ketika pasukan pemanah turun dari Bukit Rumah kerana menyangkakan perang sudah tamat, pasukan berkuda yang dipimpin Khalid ibn Walid dan Ikrimah ibn Jahal telah membunuh baki tentera pemanah di atas Bukit Rumah. Lantaran itu, tentera muslimin terkepung dari sebelah depan dan belakang (barat daya).

Ketika perang berkecamuk itulah, sahabat Rasulullah merapatkan barisan, membentengi Rasulullah SAW, Saidina Hamzah telah dilembing oleh tentera musuh.

Abdullah ibn Zubair telah dibunuh di atas Bukit Rumah mempertahankan amanat baginda. Pada ketika itulah, Mus'ab ibn Umair mempertahankan Rasulullah SAW. Tangan kanannya terputus akibat ditetak oleh musuh. Beliau menggunakan tangan kirinya untuk berlawan. Terputus tangan kirinya, beliau menggunakan kedua-dua lengannya untuk memegang panji-panji Islam.

Tatkala Rasulullah SAW terperosok akibat tentangan musuh dan hampir-hampir dipenggal oleh tentera musyrikin, Mus'ab membantingkan badannya untuk melindungi Rasulullah SAW daripada dibunuh. Maka terbunuhlah Mus'ab ibn Umair, syahid mempertahankan nyawa semulia-mulia makhluk. Lalu panji-panji itu disambutlah oleh Ali Karamallahhuwajhah.

Sahabat-sahabat Nabi membawa baginda berundur ke belakang lalu terus menaiki Bukit Uhud. Bukit Uhud bergoyang kerana malu tubuhnya dinaiki makhluk yang paling mulia. Bersabdalah Nabi SAW: Isbat ya Uhud (Tetaplah engkau wahai uhud. Bukankah makhluk yang paling mulia berada di atasmu bersama shahidain (dua sahabat yang akan syahid iaitu Umar dan Uthman)".

Setelah berundur ke atas Bukit Uhud, Rasulullah ditempatkan di sebuah gua yang kecil yang hanya boleh memuatkan empat orang di dalamnya. Rasulullah terbaring tidak sedarkan diri manakala para sahabat berkubu di bawah bukit bagi menyekat serangan kaum musyrikin.

Terselamatlah Islam dengan terselamatnya utusan Allah. Jika kita melawat gua itu baunya yang harum dapat dirasai sehingga ke hari ini.

Masjid Al-Qiblatain

Masjid ini merupakan tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah terletak di barat laut Madinah. Masjid ini diberi nama Qiblatain sempena peristiwa turunnya wahyu daripada Allah SWT agar Rasulullah SAW menukarkan kiblatnya dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram.

Peristiwa turunnya ayat wahyu Allah SAW ketika Baginda sedang solat Zuhur pada rakaat yang kedua. Firman Allah yang bermaksud: Maka sesungguhnya kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram... (al-Baqarah: 144)

Rasulullah SAW segera mengubah arah kiblat dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke Baitullah berbetulan dengan al-Mizan (Pancur Emas).

Lantaran itu, pada waktu Asar semasa di Masjid Nabawi, Rasulullah SAW membetulkan kiblatnya setentang dengan Masjidil Haram.

Demikianlah, kisah-kisah tempat bersejarah yang boleh dilawati oleh bakal-bakal haji. Terdapat banyak lagi tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati dan dihayati kisahnya oleh bakal-bakal haji. Antaranya perigi Uthman yang berhampiran dengan Masjid Quba' dan Khal'ah berhampiran masjid Jumuah.

Semoga menziarahi Madinah menepati hadis Nabi yang bermaksud: "Kembalinya iman di Madinah itu seperti kembalinya ular ke sarang." Wallahu a'lam.

- UTUSAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url