Top Ad 728x90

,

Orang Gaji.com - 'Memburu' pekerja, majikan


Berikutan permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang mencari khidmat orang tempatan untuk bekerja di rumah mereka secara harian, Syarikat Homeneed Services Sdn. Bhd. telah melancarkan laman web www.oranggaji.com sejak April tahun lalu.

Sejak itu, aktiviti mencari pemberi khidmat yang berumur di antara 18 hingga 60 tahun yang tidak tahu menggunakan Internet giat dijalankan.

Menurut Pengarah Urusannya, Nazari Zain, peluang tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang menganggur, suri rumah, ibu tunggal, pelajar lepasan sekolah atau sesiapa sahaja yang berminat menambah pendapatan sampingan.

Urus rumah tangga

"Antara kerja yang ditawarkan adalah seperti mengurus rumah tangga, menjaga kanak-kanak dan warga emas, mengurus wanita selepas bersalin, bidan atau tukang urut.

"Laman web itu juga menyediakan kerja-kerja untuk lelaki iaitu mengurus taman, mencuci bilik air, mencuci tangki air, membaiki perabot dan lain-lain kerja yang berkaitan," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Kerja yang ditawarkan tidak memerlukan si pemohon berhijrah kerana pekerja akan ditempatkan berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

Ilham untuk membuka laman web berkonsepkan direktori itu tercetus apabila Nazari melihat ramai orang muda yang menganggur selain permintaan pembantu rumah yang tinggi.

"Sambutan terhadap laman web ini sangat menggalakkan daripada majikan di seluruh negara tetapi ramai yang tidak faham cara ia beroperasi.

"Kami bukan agensi pembantu rumah tetapi menyediakan platform untuk majikan dan pemberi khidmat (PK) untuk mengiklankan diri mereka," jelasnya.

Caranya mudah, majikan hanya perlu mengiklankan keperluan mereka secara talian untuk disiarkan sama seperti iklan di akhbar. Bagaimanapun, mereka akan dikenakan bayaran minimum.

Sebaliknya, tiada bayaran dikenakan kepada PK.

"Majikan yang berminat kepada PK boleh terus menghubungi PK. Majikan yang mahu melihat profil PK juga perlu membayar yuran langganan.

"Kepada mereka yang kurang mahir menggunakan Internet, boleh mendaftar secara manual dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) nama dan alamat pada nombor 013-258 2668 bagi mendapatkan borang untuk diisi secara manual," katanya.

Tambahnya, borang tersebut perlu dikembalikan pada alamat yang dinyatakan atau e-mel kepada info@oranggaji.com.

Buat masa ini, bilangan majikan jauh lebih tinggi berbanding jumlah PK yang berdaftar iaitu seramai 2,000 majikan berbanding 100 PK.

"Kami tidak menetapkan harga yang perlu dibayar oleh majikan terhadap khidmat PK. Ia terpulang kepada perbincangan antara majikan dan PK itu sendiri.

"Namun, kami sarankan PK supaya meletakkan kadar upah yang tidak terlalu tinggi bagi menarik perhatian majikan seterusnya memilih mereka," katanya.

Walaupun tiada sebarang garis panduan kepada majikan dan PK, namun pihaknya ada menitipkan pesanan buat PK seperti bertanggungjawab apabila menjalankan tugas, menjaga personaliti, kemas, bersih, menjaga keselamatan diri, elakkan perbalahan dengan majikan dan menerima upah secara tunai.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90