Perkembangan ilmu falak
Ini termasuk menghasilkan output dalam bentuk produk yang dapat membantu meningkatkan keimanan dan kualiti hidup.
Dalam kehidupan masa kini, teknologi angkasa lepas yang paling ketara adalah teknologi satelit yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca, komunikasi, penyelidikan alam sekitar dan atmosfera serta bagi tujuan ketenteraan.
Semua ini menunjukkan potensi dan manfaat hasil kajian manusia tentang ilmu falak.
Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)
Ternyata, manfaat yang selama ini kita nikmati tanpa disedari daripada perkembangan ilmu falak adalah penentuan tarikh. Ini menjadi lebih penting terutama dalam merancang bilakah mulanya puasa Ramadan. Seterusnya menentukan cuti bagi membolehkan kita merancang perjalanan pulang berhari raya ke kampung.
Sumbangan ahli falak Yunani
Ahli astronomi purba telah memulakan beberapa teori dan siri pencerapan yang berguna untuk kajian falak seterusnya.
Antaranya, Aristarchus (310 SM -230 SM) yang membuat pengukuran saiz serta jarak bulan can matahari.
Erathosthenes (240 SM) mula membuat pengukuran diameter bumi manakala Hipparchus (150 SM) menggunakan kaedah matematik trigonometri untuk perhitungan astronomi.
Ptolemy (120 SM) pula mengemukakan konsep alam sistem geosentrik. Ia menunjukkan bahawa bumi menjadi pusat alam dengan planet lain serta matahari beredar mengelilinginya dengan jarak dan halaju tetap.
Ilmu falak dalam zaman tamadun Islam
Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu ini. Mereka telah mengubah skop kajian ilmu falak yang bercorak tradisi kepada saintifik.
Pada zaman khalifah al-Makmum (813-833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.
Ahli falak Islam telah berjaya mendapatkan ukuran lilit tersebut sebagai 40,253 kilometer (km). Ukur lilit bumi yang diperolehi dalam pengukuran moden adalah 40,084 km.
Al-Makmum menjadikan kota Baghdad, Kufah dan Basraj sebagai pusat penyelidikan unggul dengan membina kompleks penyelidikan dan makmal yang dikenali Baitul Hikmah.
Pada masa yang sama, terdapat sekurang-kurangnya empat balai cerap yang aktif membuat penyelidikan iaitu balai cerap Kaherah, Qaisun di Damsyik, Shammasiya di Baghdad dan Maraghah di Turkistan.
Antara tokoh cendekiawan Islam dalam bidang ini ialah al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Kindi.
Al-Biruni selain mengkaji tentang geografi dan geologi turut memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet.
Al-Khawarizmi pula membuat kajian qamari dan kenampakan anak bulan. Ibnu Sina pula pakar dalam astro fizik manakala ak-Kindi dikenali sebagai pakar matematik dan geografi.
- UTUSAN MALAYSIA