Rekreasi melalui GroupsMore


Benarkah majoriti rakyat Malaysia tidak gembira? Adakah ini bermakna mereka tidak pandai mencari keseronokan hingga meningkatkan jumlah kelompok yang bosan menempuh kehidupan mereka?

Menurut hasil kajian dalam talian yang dijalankan sebuah laman web tempatan, YouthSays ke atas 2,000 individu, 99.3 peratus daripada mereka bersetuju bahawa hidup ini mesti menggembirakan.

Bagaimanapun hanya 22.9 peratus benar-benar bersetuju hidup mereka penuh keseronokan sedangkan 48 peratus menganggap hidup mereka biasa sahaja. Sebanyak 30 peratus lagi menyatakan hidup mereka amat membosankan.

Bayangkan jika inilah yang berlaku ke atas 28 juta rakyat Malaysia. Bagaimanakah keadaan dan produktiviti hidup mereka jika situasi ini berterusan?

Justeru, generasi muda seharusnya dipupuk dengan pelbagai aktiviti dalam memastikan mereka mempunyai kehidupan dan hubungan sosial yang positif.

Keluar daripada rutin

Menurut Pengarah Eksekutif dan Pengasas YouthAsia, Joel Neoh awal tahun lalu, pihaknya berpengalaman menganjurkan Youth’10 Malaysia’s Youth Festival yang disertai 88,366 golongan muda Malaysia.

“Dalam festival itu, kami melihat penyertaan yang sangat akif daripada golongan muda negara ini yang teruja dan bersemangat mencuba pelbagai perkara baru,” jelasnya.

Joel berkata, kejayaan menarik ramai golongan muda menyertai festival tersebut mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan dan syarikat-syarikat yang terbabit dalam festival berkenaan.

Daripada situ mereka mencadangkan penganjur mencari satu platform yang bersifat kekal sebagai alternatif untuk rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang menyeronokkan.

Tertarik dengan cadangan itu, pihaknya memikirkan satu cara yang dapat membantu rakyat negara ini keluar daripada aktiviti rutin mereka.

Lantaran itu, pada September tahun ini, YouthAsia melancarkan laman web tempatan yang dinamakan GroupsMore.

Fokusnya adalah untuk memberi inspirasi dan peluang kepada rakyat Malaysia pelbagai peringkat usia hidup gembira serta memaksimumkan potensi hidup mereka.

GroupsMore cuba memikirkan keperluan anak-anak muda hari ini yang perlu terus diberi bimbingan untuk menjana minat dan kreativiti mereka. Ia juga bertujuan mendorong mereka menjalani gaya hidup yang positif.

Bagi Joel, keseronokan dalam hidup tidak terbatas pada waktu-waktu tertentu.

“Dalam kaji selidik yang sama, 98.7 peratus percaya perasaan gembira hadir apabila kita mencuba sesuatu yang baru, selain perasaan yang sama dapat dirasai ketika musim perayaan, lamaran perkahwinan dan sambutan hari lahir,” jelasnya.

Lebih ramai lebih jimat

GroupsMore sebenarnya adalah singkatan daripada perkataan Groups Save More. Sesuai dengan namanya, laman web itu mengenal pasti pelbagai aktiviti yang terdapat di sekitar Lembah Klang mengikut minat individu berdasarkan gaya hidup mereka.

Antaranya ialah aktiviti luncur ais, memanah, taman tema, sukan ekstrem, spa, restoran, melancong, kemahiran baru dan pelbagai aktiviti di lokasi menarik untuk disertai pada setiap minggu.

Berkonsepkan belian secara dalam talian pada harga diskaun sehingga 90 peratus, laman web itu turut menghubungkan peserta dengan rakan-rakan baru yang mempunyai minat yang sama. Malah, GroupsMore telah pun mengadakan beberapa aktiviti bersama anggotanya bagi merapatkan hubungan mereka.

GroupsMore juga mungkin boleh diterima sebagai laman web untuk pengguna kerana turut memastikan hak pengguna terpelihara. Lebih ramai penyertaan lebih tinggi diskaun yang diberi.

Caranya cukup mudah, pengguna hanya perlu mendaftar ke laman web GroupsMore.com dan melihat sendiri aktiviti yang ditawarkan. Kongsikan maklumat bersama rakan-rakan dan GroupsMore akan menghantar kupon tawaran diskaun untuk dicetak dan ditebus sewaktu berkunjung ke lokasi yang dipilih.

Sungguhpun baru beroperasi untuk kemudahan ahli dari sekitar Lembah Klang sahaja, GroupsMore bercadang meluaskan lagi rangkaian kenalan dan penyertaan peniaga dari seluruh Malaysia sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Terkini, 5,237 individu menyertai GroupsMore untuk mencuba lebih 1,300 aktiviti baru dengan diskaun yang menarik untuk dicuba pada setiap minggu.

– Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url