Daftar e-Kasih bukan jaminan bantuan
Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berkata, e-Kasih bukanlah badan yang memberi bantuan seperti mana tanggapan banyak pihak.
“Pendaftaran terbuka hanya menentukan sama ada bancian terperinci layak dijalankan atau sebaliknya,” kata kenyataan ICU JPM, semalam.
Maklumat dalam e-Kasih boleh digunakan untuk perancangan projek bagi penyaluran bantuan dan penyertaan projek oleh semua agensi yang diberikan akses.
E-Kasih ditubuhkan pada 2007 sebagai sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi memudahkan agensi pemberi bantuan memilih golongan yang layak menerima bantuan program pembasmian kemiskinan.
Kriteria menentukan status kemiskinan adalah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan PGK perkapita isi rumah ditentukan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam e-Kasih berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM) yang sudah dilaksanakan dalam dua fasa sebelum ini.
Selain melalui kaedah pendaftaran terbuka iaitu dalam talian, pendaftaran juga boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.ekasih.gov.my.
– BERNAMA