Disayangi, menyayangi fitrah manusia

Tidak salah untuk bercinta dan berkahwin kerana itu fitrah manusia untuk menyayangi dan disayangi. Walaupun usia sudah meningkat namun keperluan untuk disayangi dan perasaan ingin dibelai oleh pasangan adalah sesuatu perkara yang biasa.

Pendapat tersebut diakui sendiri oleh Pensyarah Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Meriam Omar Din.

Tegas beliau, biarpun usia sudah peringkat tua namun keinginan untuk berkahwin adalah sesuatu yang normal bagi manusia yang hidup berpasangan.

“Ini adalah sesuatu yang normal namun keadaan seperti ini kadang kala sukar diterima oleh masyarakat kita,’’ ujarnya ketika diminta pandangan mengenai keperluan cinta di kalangan warga emas.

Terang Dr. Meriam, sudah menjadi lumrah kehidupan manusia untuk hidup berpasang-pasangan.

Namun bagi pasangan warga emas, sebenarnya keinginan mereka bukan sekadar kepada hubungan intim semata-mata tetapi lebih kepada konsep untuk berteman.

Tetapi pada peringkat usia tua, sudah lumrah untuk mengimbau kebaikan yang telah dilakukan dan juga penyesalan terhadap kesilapan kepada kehidupan lampau.

Dalam usia kategori tua iaitu 60 tahun ke atas, kehidupan mereka lebih kepada untuk mengimbau kenangan-kenangan lama tidak kira yang baik mahupun tidak baik.

Malah pada usia ini, sudah menjadi kebiasaan pada dirinya mengulang-ulang cerita kepada sesiapa sahaja.

Tetapi dengan perkahwinan, mereka boleh berkongsi cerita dan mengimbau kenangan yang pernah dilakukan sepanjang hidup mereka.

Situasi ini jika diceritakan kepada anak-anak mungkin menimbulkan kebosanan kerana cerita tersebut telah diulang beberapa kali.

“Apabila anak-anak mendengar cerita yang sama berulang kali, mereka akan bosan untuk mendengar dan tidak memberikan perhatian secara jujur dan ini akan menyebabkan orang tua rasa tidak dihargai lagi,’’ ujarnya lagi.

Katanya Dr. Meriam lagi, kebiasaan kaum lelaki akan berkongsi cerita tentang peribadi kepada isteri sahaja dan keadaan itu mendorong kepada kaum Adam tersebut untuk berkahwin semula.

“Oleh itu adalah satu keperluan bagi mereka untuk berkongsi cerita tersebut kepada isteri sebab itu kaum lelaki biasanya inginkan berkahwin lagi walaupun di usia lanjut untuk dijadikan rakan untuk bercerita.

“Mereka biasanya amat jarang untuk berkongsi cerita terutama berkaitan kehidupan peribadi dengan rakan -rakan lelaki tetapi lebih suka berkongsi cerita tersebut dengan isteri.

“Oleh itu adalah satu keadaan normal untuk mereka mencari teman baru bagi berkongsi cerita-cerita tersebut,’’ ujarnya serius.

Melalui penceritaan itu, terangnya mampu memberikan keseronokan kepada dirinya sendiri.

Bagaimanapun keadaan ini berbeza dengan kaum wanita yang sukakan berkongsi cerita kepada rakan-rakan.

“Sebab itu kalau kita tengok kaum wanita tidak kisah hidup lama menjanda tanpa suami kerana mereka boleh bercerita dengan sesiapa sahaja,’’ ujarnya lagi.

Tambah Dr. Meriam lagi, bagi kaum wanita yang kematian suami dorongan untuk berkahwin semula mungkin juga kerana inginkan teman hidup tetapi ada juga didorong oleh yang lain misalnya ada sesuatu yang belum selesai.

“Keadaan ini biasanya didorong oleh sesuatu keadaan yang yang dipanggil unfinished business tentang hubungan dengan suaminya,” katanya.

Katanya lagi, mungkin kekurangan dengan perkahwinan lampau membuatkan ia mahu menggantikan kekurangan tersebut melalui perkahwinan baru.

“Oleh itu, melalui perkahwinan baru mereka ingin menggantikan semula apa yang tidak selesaikan dengan suaminya dulu kepada pasangan baru,’’ ujarnya lagi.

Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh turut menjelaskan, perkahwinan di kalangan warga emas biasanya lebih berkonsepkan kepada teman dan bukan kepada seks sahaja.

“Keadaan ini menyebabkan mereka lebih teruja dan seronok kerana ada tempat untuk berkongsi cerita serta mengisi kesunyian dalam kehidupan sehariannya.

“Malah lebih seronok, apabila berkahwin, kehidupannya lebih terurus dengan adanya belaian isteri.

“Biarpun tidak berfokus kepada seks tetapi mereka mempunyai tempat untuk bermanja-manja dengan belaian yang tersendiri.

“Dari situ juga akan menerbitkan lagi kebahagiaan kepada kehidupan mereka berdua,” katanya.

Tegas Hashim lagi, kesunyian adalah penyakit dan jika tidak dirawat akan memberikan kesan yang bahaya kepada kesihatan, malah mampu menjadikan seseorang itu menjadi murung.

Tegasnya, kebiasaan warga emas yang kematian suami atau isteri akan tinggal sendirian atau tinggal bersama anak-anak.

Keadaan itu menyebabkan mereka menjadi sunyi walaupun ada anak-anak yang menemani.

“Biarpun ditemani anak-anak, namun menjadi lumrah seseorang untuk di sayangi atau di belai, sebab itu warga emas ini tetap inginkan seseorang untuk melayan dirinya selain daripada anak-anak dan juga cucu,’’katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • ♥ ieRa ♥
    ♥ ieRa ♥ Jumaat, 21 Januari 2011 pada 12:09:00 PTG SGT

    semua individu mempunyai keinginan utk berkahwin...memang benar pendapat prof tersebut, yang penting skali diharapkan agar pasangan dapat menjadi 'teman' sepenjang hayat, ketika susah & senang..insyallah..

Add Comment
comment url